Boleh buka pelitup muka semasa bersukan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Pemakaian pelitup muka hendaklah dipakai ketika berada di dalam kemudahan sukan namun ia boleh dibuka apabila melakukan kegiatan sukan atau senaman dan hendaklah dipakai semula dengan serta-merta selesai
melakukan aktiviti sukan dan aktiviti fizikal berintensiti tinggi.

Perkara itu dinyatakan oleh Pegawai Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Bakhtiar bin Haji Buntan semasa sesi temu bual yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau turut menjelaskan seperti yang dimaklumi hanya individu yang lengkap bervaksin sahaja dibenarkan menyertai sukan berpasukan atau sukan individu yang mana hanya untuk latihan tanpa melibatkan kontak fizikal atau sparring.

Semasa mengulas persoalan mengenai jika latihan bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun dapat dilaksanakan, beliau menekankan bahawa hanya individu yang bervaksin sepenuhnya dibenarkan untuk menyertai latihan, aktiviti dan kemudahan bersukan serta bagi kanak-kanak termasuk mereka yang menyertai skim sukan, mereka masih boleh melakukan latihan secara atas talian seperti yang sedang dijalankan oleh jurulatih masing-masing.

Beliau menerangkan, KKBS akan mengeluarkan garis panduan lebih terperinci bagi penggunaan fasiliti dan kemudahan sukan dalam serta luar dewan dan juga bagi sukan-sukan yang tertentu sebelum atau pada permulaan Fasa Peralihan nanti.