MUNGKIN ramai yang sudah mengetahui, pengguna kini boleh memadam mesej WhatsApp yang telah dihantar.
Ciri ‘Delete for Everyone’ itu membolehkan pengguna menarik balik mesej yang dihantar kepada individu atau kumpulan WhatsApp dan tersedia bagi pelbagai platform seperti Android, iPhone dan Windows Phone.
Salah satu kegunaan terbesar ciri berkenaan adalah apabila pengguna mengantar mesej ke laman sembang salah atau mesej berkenaan mengandungi kesilapan. Ia adalah ciri terkini yang ditambah dalam senarai panjang ciri WhatsApp yang diperkenalkan tahun ini dan merupakan perubahan terbesar kepada aplikasi berkenaan sejak ‘blue tick’.
Perkhidmatan milik Facebook itu mengesahkan bahawa mesej-mesej yang telah berjaya dipadamkan akan digantikan dengan ‘This message was deleted’ dalam laman sembang penerima. Begitu juga, jika pengguna melihat mesej berkenaan dalam laman sembang, ia bermakna penghantar telah memadamkan mesej mereka untuk semua orang.
Untuk mendapatkan ciri baru berkenaan, pastikan pengguna memuat turun versi terkini WhatsApp ke peranti masing-masing. Begitu juga dengan penerima, mereka juga mesti mempunyai versi terkini untuk mesej berke-naan berfungsi.
Sebagai peringatan, ciri ini tidak akan berfungsi jika penerima mesej berkenaan tidak mempunyai versi terkini WhatsApp; dalam hal ini, penerima mungkin melihat mesej berkenaan sebelum ia dipadamkan atau pemadaman tidak berjaya.
WhatsApp berkata bahawa ciri ini hanya boleh digunakan jika pengguna cukup pantas. Pengguna hanya boleh memadam mesej untuk semua orang bagi tempoh sehingga tujuh minit selepas menghantarnya. Ini bermakna, selepas tujuh minit, tiada cara untuk memadam mesej bagi semua orang.
Di samping ‘Delete for Everyone’, WhatsApp juga telah menukar nama pilihan pemadaman biasa, menggelarnya ‘Delete for Me’.