Boleh rapatkan sejadah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Di bawah fasa keempat pembukaan semula masjid-masjid, surau dan balai ibadat, para jemaah dibenarkan merapatkan sejadah mereka dengan sejadah jemaah lain.

Ketua Bahagian Idarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Asminan bin Haji Chuchu berkata, ini adalah antara pengurangan dalam tahap keempat yang dilakukan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Untuk mengubah tahap ini, jelas beliau, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU akan sentiasa berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan untuk menentukan pertukaran tahap yang sedia ada ke tahap seterusnya yang tertakluk kepada nasihat Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, ketika ditemui di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini, beliau turut menasihatkan para jemaah dan orang ramai yang akan memasuki masjid agar mematuhi panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Beliau menjelaskan, antara panduan yang perlu dipatuhi adalah jemaah masjid hendaklah mendaftar masuk menggunakan aplikasi BruHealth serta mendapat kelulusan kod hijau atau kuning bagi sembahyang Fardu Jumaat dan fardu lima waktu, digalakkan untuk mengambil wuduk sebelum ke masjid dan memakai penutup mulut dan hidung. Tempahan untuk sembahyang Jumaat ditiadakan bermula minggu ini.

Para jemaah juga dikehendaki (digalakkan bagi sembahyang fardu lima waktu) untuk membawa dan menggunakan tikar sembahyang sendiri (berukuran besar), mengimbas kod QR, membuat pemeriksaan suhu badan, mensanitasi tangan, mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan bersalam-salaman. Bagi jemaah yang ada tanda-tanda jangkitan pula dilarang untuk hadir ke masjid.

Di bawah fasa ini, kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun ke atas dibenarkan untuk menunaikan sembahyang Fardu Jumaat manakala itu, kanak-kanak dan perempuan dibenarkan untuk menunaikan sembahyang fardu lima waktu di masjid.

Menyentuh mengenai aktiviti takmir masjid, beliau berkata, ia dibenarkan dengan jumlah yang hadir tidak melebihi 100 orang dalam tempoh tidak melebihi dua jam dan kelas Al-Quran dan muqaddam dibenarkan dengan tempoh masa tidak melebihi dua jam mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid.

KHEU telah mengumumkan fasa keempat pembukaan semula masjid-masjid, surau dan balai ibadat bermula sembahyang Fardu Subuh pada 3 Ogos lalu.

Para pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Masjid menunaikan solat dengan jarak fizikal dikurangkan, panduan baharu yang diperkenalkan dalam fasa ke-4 pelonggaran sekatan bermula Subuh, 3 Ogos lalu. Jemaah kini dibenarkan untuk merapatkan sejadah masing-masing berbanding jarak satu meter sebelum ini. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
Haji Asminan semasa ditemu bual oleh pihak Media Permata di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien kelmarin.