(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Dalam Islam, niat merupakan satu perkara penting sebagai pembeza amalan seseorang, sama ada untuk ibadah, untuk mendapat ganjaran pahala atau untuk melaksanakan perbuatan semata-mata. Niat merupakan tempat tumpuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada diri hambaNya sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:
Sesungguhnya Allah tidak melihat pada jasad kamu atau pada rupa paras kamu, melainkan yang dipandangnya adalah hati kamu – dan (Baginda) mengisyaratkan jari-jari Baginda ke arah dada.
(Hadits riwayat Muslim)
Letak niat adalah di dalam hati kerana hakikat niat itu adalah maksud atau keinginan.
Letak maksud atau keinginan itu adalah di dalam hati. Namun melafazkannya pula adalah sunat. Ini kerana pada hakikatnya akal, pengetahuan, kecenderungan, kebencian dan kepercayaan juga terletak di dalam hati. Yang demikian itu, niat dianggap salah satu daripada perbuatan (yang dilahirkan dari) hati.
Para ulama Fiqh termasuk ulama Syafi‘iyyah menetapkan niat sebagai keutamaan sama ada ia menjadi rukun atau syarat sah dalam melaksanakan satu-satu ibadah. Dalam perbuatan-perbuatan mubah pula, niat tidaklah disyaratkan seperti makan, minum, tidur dan yang seumpamanya. Akan tetapi, persoalannya adakah boleh seseorang itu berniat taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala) ketika melakukan perbuatan-perbuatan mubah?

PENGERTIAN NIAT
Banyak takrif diberikan berkaitan niat. Namun daripada takrif yang diberikan itu ia tetap memberi makna: Tujuan atau maksud atau keinginan. Menurut para ulama, niat itu adalah ketetapan hati untuk menghasilkan satu perbuatan secara sungguh-sungguh.
Para ulama Syafi‘eyah mentakrifkan niat sebagai memaksudkan sesuatu seiring dengan perbuatannya.
Di dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah disebutkan bahawa niat ada dua jenis, iaitu:
1. Niat at-taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala), iaitu niat yang digandingkan dengan perbuatan. Orang yang berniat taqarrub ini hendaklah berlaku ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Contohnya seseorang memberi makanan kepada jirannya dengan tujuan bersedekah.
2. Niat at-tamyiz (membezakan), iaitu niat yang menentukan maksud lafaz atau perbuatan yang boleh membawa banyak maksud; membezakan antara adat (kebiasaan) dan ibadah, contohnya seseorang duduk di masjid berniat sama ada dia duduk untuk berehat atau untuk beriktikaf. Atau membezakan antara satu ibadah dengan ibadah yang selainnya, contohnya seseorang hendak melakukan sembahyang berniat sama ada hendak melakukan sembahyang fardhu atau sembahyang sunat.
BOLEHKAH BERNIAT TAQARRUB KETIKA MELAKUKAN PERKARA MUBAH?
Imam al-Ghazali Rahimahullah menjelaskan bahawa amalan yang berhubung dengan niat itu terbahagi kepada tiga bahagian; maksiat, amal taat dan mubah.
(1) Amal Maksiat
Amal maksiat tidak boleh berubah kedudukannya daripada amal maksiat kepada amal taat dengan hanya menambah niat melakukan ketaatan semata-mata.
Contohnya, seseorang mencuri untuk niat bersedekah kepada orang lain dari hasil curian atau seseorang hendak membina masjid dengan wang haram.
(2) Amal Taat
Amal taat itu berkaitan dengan niat dalam syarat sahnya dan dalam berlipat ganda pahalanya. Asas amalan yang sah itu, hendaklah seseorang itu meniatkan melakukan amal semata-mata sebagai ibadah kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, tidak menyimpang kepada yang selainNya.
Sekiranya perbuatan taat itu disertai dengan niat untuk riya’, maka ia berubah menjadi perkara maksiat.
Dalam hal pahala berlipat ganda pula, ia terhasil dengan memperbanyakkan niat ketika melakukan amal tersebut.