Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Binatang yang boleh dimakan seperti kerbau, lembu, kambing dan seumpamanya adalah tidak halal apabila tidak disembelih mengikut sembelihan syara‘. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai (binatang yang mati tanpa disembelih), darah (yang mengalir), daging babi, (binatang) yang disembelih bukan atas nama Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh dari tempat tinggi, yang ditanduk, yang diterkam oleh binatang buas kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan (juga) yang disembelih atas nama berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, kerana itu adalah perbuatan fasiq. (Surah al-Ma’idah: 3)
Oleh yang demikian, binatang yang boleh dimakan itu hendaklah terlebih dahulu disembelih mengikut sembelihan syara‘ agar ia halal. Ini kerana mencari yang halal itu adalah satu kewajipan ke atas setiap orang Islam. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
Wahai rasul-rasul! Makanlah daripada yang baik-baik (lagi halal) dan kerjakanlah amalan salih, sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Mu’minun: 51)
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Mencari yang halal itu wajib ke atas setiap orang Islam. (Hadits riwayat ath-Thabrani)


