(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Zina merupakan sekeji-keji perbuatan dan merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar selain daripada dosa syirik kepada Allah SWT, dosa membunuh tanpa hak yang dibenarkan oleh syarak dan lain-lain lagi. Pengharaman perbuatan zina disebutkan di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT yang tafsirnya:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’: 32)
Banyak akibat buruk yang berlaku disebabkan perbuatan zina. Ia menjadi punca kerosakan pada dua perkara yang wajib dipelihara oleh setiap umat Islam iaitu kerosakan terhadap maruah dan kerosakan pada nasab.
Dengan perlakuan zina tersebut, pasangan yang berzina telah menjatuhkan maruah diri. Ini kerana Islam hanya membenarkan umatnya untuk melakukan persetubuhan hanya dengan suami atau isteri masing-masing. Dengan perlakuan zina juga kadang-kadang menyebabkan terhasilnya kandungan anak luar nikah. Ini sudah tentu memporak-perandakan jalinan nasab keturunan yang wajib dipelihara.
Bolehkah menikahi perempuan yang sedang hamil disebabkan zina?
Syariat Islam telah menggariskan syarat-syarat sah bagi seorang perempuan yang hendak dinikahi iaitu:
Hendaklah dia tidak ada ikatan pernikahan (bukan isteri orang).

Bukan dalam tempoh ‘iddah daripada orang lain.
Jika perempuan tersebut masih lagi isteri orang atau masih dalam tempoh ‘iddah sama ada ‘iddah cerai atau kematian suami, maka haram bagi lelaki lain bernikah dengan perempuan tersebut.
Dalam perkara ‘iddah pula, seorang isteri yang ditalak atau kematian suami hendaklah memastikan bahawa tempoh ‘iddahnya telah selesai sebelum bernikah dengan lelaki lain. ‘Iddah bagi isteri yang ditalak suami ialah tiga kali quru’ iaitu tiga kali suci daripada haid bagi perempuan yang masih haid dan tempoh tiga bulan bagi perempuan yang sudah menopaus atau belum pernah didatangi haid (belum baligh), manakala ‘iddah bagi isteri yang kematian suami pula ialah empat bulan 10 hari.
Jika isteri yang ditalak atau kematian suami itu hamil, maka tempoh ‘iddahnya adalah setelah dia melahirkan anak yang dikandungkannya. Apabila dia telah selesai melahirkan, maka barulah perempuan tersebut halal bernikah dengan lelaki lain. Tetapi jika perempuan itu masih lagi hamil, maka haram dia bernikah dengan lelaki lain kerana masih lagi dalam tempoh ‘iddah.
Adapun hukum bernikah dengan perempuan yang hamil disebabkan zina tidak sama dengan hukum perempuan yang hamil disebabkan pernikahan secara sah. Hukum bernikah dengan perempuan yang hamil disebabkan zina adalah harus, sebagaimana berpendapat para ulama, antara mereka:
Syeikh al-Islam Zakariyya al-Anshari Rahimahullahu Ta‘ala berkata:
Ertinya: “Harus menikahi perempuan yang hamil daripada zina, dan begitu juga menjimaknya seperti (harusnya menikahi) perempuan yang tidak hamil, kerana tidak ada kehormatan hukum bagi kelakuan zina (dalam Islam).”
Imam asy-Syirazi Rahimahullah pula berkata:
Ertinya: “Jika seorang lelaki berzina dengan seorang perempuan, tidak haram ke atasnya (lelaki itu) menikahinya berdasarkan firman Allah Ta‘ala: “…… Dan dihalalkan kepada kamu perempuan-perempuan yang lain daripada tersebut itu…..” (an-Nisa: 24). Dan ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah ditanyakan tentang seorang lelaki yang telah berzina dengan seorang perempuan, kemudian dia berhasrat menikahi perempuan tersebut atau anak perempuannya, maka Baginda pun bersabda: “Yang haram itu tidak mengharamkan yang halal.” Adapun diharamkan (perempuan itu) hanyalah dengan sebab perempuan itu ada ikatan nikah (dengan orang lain).”
Zina tidak membawa kepada hubungan kekeluargaan atau persemendaan
Hubungan pasangan yang melakukan zina terhadap ahli keluarga masing-masing adalah asing. Di dalam kitab al-Majmu‘, Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah Ta‘ala mengatakan:
Ertinya: “Perbuatan berzina tidak mengharamkan perkara yang halal.”
Bahkan apabila seorang lelaki berzina dengan seorang perempuan, tidaklah haram bagi lelaki tersebut untuk mengahwini anak perempuan atau emak si perempuan yang dizinainya. Begitu juga tidak haram bagi perempuan tersebut untuk bernikah dengan anak lelaki atau bapa si lelaki yang berzina dengannya.
Melainkan jika lelaki itu berkahwin dengan perempuan yang dizinainya, barulah wujud hubungan kekeluargaan atau persemendaan. Maka haram bagi lelaki berkenaan berkahwin dengan ibu perempuan tersebut kerana dengan perkahwinan, si ibu telah menjadi mahram kepada lelaki tersebut sebagai ibu mertuanya dan haram berkahwin buat selama-lamanya. Begitu juga haram ke atasnya mengahwini anak perempuan kepada perempuan tersebut jika telah berlaku ‘dukhul’ setelah mereka berkahwin. Bagi perempuan itu pula adalah haram berkahwin dengan bapa lelaki berkenaan kerana dengan berkahwin, si bapa telah menjadi mahram perempuan itu sebagai bapa mertuanya dan diharamkan berkahwin buat selama-lamanya.
Jelas di sini bahawa dengan jalan pernikahan sahajalah yang mengujudkan hubungan kekeluargaan atau persemendaan.
Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah Ta‘ala, jika seorang lelaki berzina dengan seorang perempuan dan tidak menikahi perempuan itu, maka makruh hukumnya bagi lelaki tersebut mengahwini perempuan hasil daripada perzinaan dengan perempuan yang dizinainya itu, sebagaimana katanya yang disebutkan di dalam kitab al-Majmu ‘:
Ertinya: “Aku tidak menyukai lelaki (yang berzina) menikahi (anak perempuan yang berzina dengannya). Akan tetapi jika dia menikahinya, aku tidak akan memfasakhkannya.”
Di dalam kitab al-Minhaj, Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:
Ertinya: “(Anak) perempuan yang terjadi daripada perzinaan adalah halal kepadanya (kepada lelaki yang berzina dengan ibunya itu).”
Perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullah ini kemudiannya disyarahkan oleh Imam al-Khatib Asy-Syarbini Rahimahullah dalam kitab Mughni al-Muhtaj. Beliau berkata:
Ertinya: “(Anak) perempuan yang terjadi daripada air mani secara zina, sama ada perempuan (ibunya) yang dizina itu rela atau sebaliknya, sama ada perempuan itu jelas berasal daripada air maninya (air mani lelaki yang menzina itu) atau tidak, adalah halal kepadanya (kepada lelaki yang menzina itu) kerana perempuan itu dianggap orang asing kepadanya, kerana air mani menerusi zina tidak mempunyai kehormatan hukum dengan berdasarkan kepada penafian segala hukum nasab, seperti perwarisan dan lain-lain daripada perempuan yang berasal dari air mani zina itu.”
Ini menunjukkan bahawa anak yang lahir hasil daripada perzinaan tidak ada kaitan nasab kepada orang yang berzina dengan ibunya. Maka dengan itu lelaki berkenaan boleh bernikah dengan anak zina itu, kerana anak zina tersebut tidak menjadi mahram kepada lelaki berkenaan.
Melalui keterangan di atas jelas bahawa pasangan yang melakukan zina tidak haram mengahwini ahli keluarga pasangan yang dizinainya selama mana keduanya tidak berkahwin.
Perlu diingat bahawa pengharusan syarak kepada lelaki untuk mengahwini perempuan yang hamil disebabkan zina (yang tidak ada ikatan perkahwinan dan bukan dalam tempoh ‘iddah), tidaklah bermakna bahawa perbuatan zina ini boleh sewenang-wenang dilakukan. Hukuman sebat bagi lelaki atau perempuan yang bujang yang melakukan zina dan hukuman rejam bagi yang berkahwin yang telah ditetapkan oleh syarak bagi sesiapa yang melakukan jenayah zina, jelas menunjukkan bahawa perbuatan ini adalah perbuatan yang amat keji.
Selain itu juga, balasan akhirat kelak pula lebih dahsyat lagi jika pelakunya tidak bertaubat, sebagaimana firman Allah SWT yang tafsirnya:
“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa yang melakukan yang demikian, akan mendapati balasan dosanya: Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu Allah akan menggantikan pada tempat kejahatan mereka dengan kebaikan, dan adalah Allah Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani.” (Surah al-Furqaan: 68-70)