Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bolehkah orang Islam menghadiri upacara kematian orang kafir?

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    AGAMA Islam mewajibkan umatnya supaya berbuat baik, bermuamalah dengan baik dan berlaku adil kepada semua orang termasuklah orang-orang yang bukan beragama Islam, apatah lagi kepada mereka yang ada hubungan kekeluargaan, selama mana mereka tidak memusuhi Islam. Perkara ini telah dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahanah: 8)

    Oleh itu, dalam Islam apabila seseorang telah memeluk agama Islam, bukan bererti dia akan memutuskan hubungannya dengan keluarga, sanak saudara serta rakan-rakannya yang berlainan agama. Islam tidak melarang mereka daripada terus berhubungan antara satu sama lain asalkan mengikut batas-batas syariat Islam dan tidak ada perkara-perkara yang bertentangan dengan agama. Ini berdasarkan hadis daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallahu ‘anha, beliau berkata yang maksudnya:

    “Telah datang kepadaku ibuku dan (ketika itu) dia masih musyrik (belum Islam) pada masa orang-orang Quraisy ketika mereka mengadakan perjanjian dengan Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersama ayahnya, maka aku meminta fatwa daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, lalu aku berkata: “Dia (ibuku) menginginkan sesuatu daripadaku, adakah aku menghubungkan silaturahim dengannya?” Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: “Ya. Hubungkanlah silaturahim dengannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Menghadiri upacara di hari kematian orang kafir

    Dalam hubungan ini, apabila berlaku kematian di kalangan ahli keluarga atau selain keluarga yang bukan beragama Islam, timbul persoalan apakah hukumnya hadir pada hari kematian atau pengebumian orang kafir tersebut? Begitu juga dengan hukum mengucapkan takziah oleh keluarga atau saudaranya yang Islam.

    Untuk menjawab persoalan ini, secara ringkas dibawakan pendapat ulama mengenai perkara ini seperti berikut:

    1) Jika yang mati itu orang kafir yang terdiri daripada kaum keluarga kepada orang Islam seperti ibu atau bapa, maka diharuskan baginya hadir pada hari kematian keluarganya yang bukan Islam itu dan mengiringinya ke tanah perkuburan.

    Termasuk orang kafir yang meninggal dunia yang diharuskan untuk menghadiri upacara pengebumiannya itu seperti jiran dan teman.

    Adapun dalil bagi pengharusan itu adalah bersandarkan kepada sebuah hadis daripada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah, katanya yang maksudnya:

    “Aku telah berkata kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam: “Sesungguhnya bapa saudara tuan (Abu Thalib) yang sudah tua yang sesat itu telah meninggal dunia.”

    Baginda bersabda: “Pergilah kamu dan kuburkanlah ayahmu itu. Setelah itu jangan kamu melakukan sesuatu, sampai kamu datang kepadaku lagi.”

    “Maka aku pun pergi. Setelah aku menguburkannya, aku pergi menghadap Baginda dan memerintahkanku, lalu aku pun mandi, kemudian Baginda mendoakanku.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Namun begitu, ketika menghadirinya hendaklah berada jauh dari mayat, termasuklah juga tidak mengikut mana-mana perbuatan atau perkara yang dilakukan oleh orang bukan Islam ketika majlis pengebumiannya. Lebih-lebih lagi menyertai apa jua acara khusus keagamaan mereka.

    2) Jika yang mati itu merupakan orang kafir yang bukan terdiri daripada ahli keluarga, maka adalah haram bagi orang Islam yang hidup hadir pada hari kematian orang kafir itu dan mengiringinya ke tanah perkuburan.

    Ucapan takziah ke atas keluarga yang kafir

    Jika orang yang meninggal itu seorang muslim atau seorang kafir dari keluarga kafir yang dihormati, maka mengucapkan takziah kepada ahli keluarga yang kafir itu adalah harus. Malahan menjadi sunat jika mengharapkan pengislaman mereka.

    Bentuk ucapan takziah kepada keluarga yang kafir adalah seperti berikut:

    1) Jika orang yang meninggal itu daripada kalangan ahli keluarga mereka yang berugama Islam, yang membawa erti, “Semoga Allah mengampuni mayat keluargamu dan mengelokkan kesabaranmu.”

    2) Jika yang meninggal itu seorang kafir, yang membawa erti, “Semoga Allah memberikanmu penggantinya.”

    Sebagai kesimpulan, menghadiri majlis pengebumian keluarga bukan Islam adalah diharuskan oleh syarak jika mereka mempunyai hubungan keluarga dengan si mati seperti bapa, ibu, teman atau jiran. Mengucapkan takziah kepada keluarga yang kafir adalah harus.

    Malahan jika keluarga yang kafir itu adalah terdiri daripada keluarga kafir yang dihormati, mengucapkan takziah itu disunatkan jika mengharapkan pengislaman mereka. Walau bagaimanapun bentuk ucapan takziah untuk orang kafir itu adalah berbeza daripada orang Islam.

    Namun demikian, haruslah diingat sebarang upacara, adat atau gaya yang dilakukan dalam majlis kematian orang kafir tersebut, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan acara khusus keagamaan mereka, tidak boleh orang Islam turut serta melakukannya ataupun mengikutinya. Perkara ini yang mesti dijaga apabila menghadiri upacara kematian atau pengebumian orang kafir.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda