Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bolivia kekurangan bahan api, makanan akibat sekatan

    LA PAZ, 30 JAN – Sekatan jalan raya selama seminggu di Bolivia telah menyebabkan kekurangan makanan dan bahan api ketika penyokong bekas presiden Evo Morales membantah penyingkirannya daripada pilihan raya 2025, kata pihak berkuasa hari ini.

    Penunjuk perasaan, yang diketuai oleh penanam koka – kumpulan utama penyokong politik Morales – bermula dengan menyekat lapan lebuh raya seminggu yang lalu dengan batu, kayu balak dan unggun api.

    “Hari ini, kita mempunyai 25 pusat sekatan di negara ini, mencetuskan kekurangan makanan dan petrol di seluruh negara,” kata Jhonny Aguilera, pegawai Kementerian Dalam Negeri, dalam satu sidang akhbar.

    Bandar-bandar yang paling teruk terjejas akibat kekurangan itu ialah ibu kota La Paz, Cochabamba dan Santa Cruz, kuasa ekonomi negara itu.

    German Jimenez, Pengarah Agensi Hidrokarbon Kebangsaan, memberitahu stesen televisyen Unitel bahawa trak tangki yang penuh dengan bahan api telah disekat oleh bantahan itu, sambil memberikan amaran bahawa ‘letupan boleh berlaku’.

    Seramai 32 pegawai polis telah cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan, 11 orang telah ditangkap dan dua orang maut ketika terkandas di belakang sekatan, menurut angka rasmi. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda