WASHINGTON, 31 JAN – Bekas presiden Brazil, Jair Bolsonaro memohon visa pelawat ke Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah pertuduhan melakukan salah laku di negara asalnya, lapor Sputnik memetik kenyataan peguam Bolsonaro seperti yang dilaporkan oleh Financial Times.
Pihak berkuasa AS baru-baru ini menerima permohonan daripada Bolsonaro untuk visa pelawat enam bulan, menurut laporan itu kelmarin.
Peguam yang mewakili Bolsonaro, Felipe Alexandre, dilaporkan berkata bekas presiden itu berkemungkinan tinggal di Florida, AS.
Bolsonaro berdepan dakwaan bertanggungjawab atas rusuhan di Brasilia awal bulan ini oleh penyokong bekas presiden itu yang menolak kekalahannya di tangan presiden baharu, Luiz Inacio Lula da Silva selain berhadapan dakwaan melakukan salah laku semasa menjadi ketua negara.
Beliau kini tinggal di AS menggunakan visa khas untuk diplomat dan pegawai tinggi kerajaan yang lain yang tamat tempoh pada hari terakhir jawatannya walaupun ia mempunyai tempoh selama 30 hari, menurut laporan itu.
Kehadiran Bolsonaro di AS menyebabkan 41 Ahli Parlimen Demokrat menandatangani surat menggesa pentadbiran Biden membatalkan visanya.
Alexandre menafikan sebarang bukti Bolsonaro terlibat melakukan jenayah berkaitan rusuhan Brasilia, menurut laporan itu. – Bernama