KABUL, 30 April – Sekurang-kurangnya 25 terbunuh termasuk ketua jurugambar AFP Shah Marai dan lapan wartawan yang lain manakala 27 lagi cedera selepas dua letupan bom menggegarkan sebuah wilayah diplomatik di pusat bandar Kabul pada pagi Isnin, lapor agensi berita China memetik kenyataan pegawai kerajaan.
Kumpulan IS mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan serangan tersebut merupakan yang terbaharu di bandar Afghanistan.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Waheed Majroh, melalui akaun Twitter, berkata angka terkini menunjukkan sejumlah 21 orang awam dan dua individu, dipercayai penyerang, maut di tempat kejadian.
Menurut polis Kabul, seorang pengebom berani mati yang menaiki sebuah motosikal telah meletupkan dirinya pada kira-kira pukul 8 pagi waktu tempatan di kawasan Shash Darak dalam Daerah Polis 9 di bandar itu.

Letupan kedua berlaku kira-kira 40 minit kemudian selepas pasukan penyelamat, polis dan wartawan berkumpul di lokasi kejadian.
Sasaran letupan itu belum dipastikan namun ia berlaku berhampiran sebuah pejabat kecil Direktorat Keselamatan Nasional (NDS), agensi perisikan utama Afghanistan.
Bunyi siren kedengaran di kawasan padat itu yang menempatkan beberapa kedutaan asing, ibu pejabat pasukan keselamatan gabungan pimpinan NATO serta banyak bangunan pangsapuri.
Sementara itu, AFP mengesahkan bahawa Marai, dua wartawan daripada 1TV, seorang daripada berita Tolo dan seorang lagi daripada Jahan TV antara yang terkorban. – Bernama/AFP