BERLIN, 25 JUN – Dua butir bom Perang Dunia Kedua (PDII) ditemui semalam di tengah Jerman di sebuah bandar di utara Frankfurt, memaksa pemindahan kira-kira 2,500 orang, kata polis tempatan.
Bom Jerman seberat 250 kilogram dan bom Amerika 50 kilogram ditemui berdekatan di antara satu sama lain di zon industri bandar Giessen di tengah negeri Hesse.
Polis berkata bom Jerman terpaksa diletupkan kerana ia terlalu didegradasi untuk dimatikan, sementara bom AS boleh dimatikan dengan selamat.
Kira-kira 2,500 orang, termasuk 600 pelarian di sebuah pusat resepsi, dipindahkan dari rumah mereka sebelum letupan, tambah polis.
Hampir 75 tahun selepas berakhirnya perang, Jerman masih dipenuhi dengan bom yang belum meletup, hasil peninggalan kempen pengeboman Pihak Berikat ke atas Jerman.
Pada Ahad, sebutir bom yang mungkin datang daripada era Perang Dunia Kedua meletup di sebuah ladang di barat Jerman meninggalkan kawah besar tetapi tidak mengakibatkan kecederaan.
Menurut pakar, 10 peratus daripada jutaan bom yang digugurkan di Jerman ketika konflik tidak meletup. – AFP