Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bom seberat 500 paun selamat dipindahkan di Laos

    SARAVANE, 14 NOV – Pasukan UXO Laos di Saravane, dengan kerjasama unit khas pelupusan bom, berjaya memindahkan sebutir bahan letupan tidak meletup (UXO) yang ditemui di sepanjang Laluan 20 berhampiran tapak pembinaan jambatan Sungai Xe Set di Kampung Ban Saenwang Nyai, daerah Saravane, pada Rabu, lapor Agensi Berita Laos (KPL).

    Peranti tersebut ditemui oleh pekerja SECC, sebuah syarikat pembinaan infrastruktur milik kerajaan, semasa kerja penggalian dijalankan. Mereka segera memaklumkan kepada pejabat UXO Saravane, yang kemudiannya menghantar pasukan pengesahan ke lokasi.

    Ketua Pejabat Program UXO di Saravane Khampiane Silaphet berkata pasukan itu menerima kebenaran daripada ibu pejabat kebangsaan untuk menjalankan tinjauan dan penilaian di kawasan berkenaan, termasuk kemungkinan kesan alam sekitar di Kampung Ban Saenwang Nyai dan Ban Khua Set yang berhampiran.

    “Selepas pemeriksaan, juruteknik kami mengesahkan yang bahan letupan ialah bom udara jenis MK 82 GPLD seberat 500 paun, dilengkapi dengan fius M904 yang masih sangat berbahaya,” katanya.

    Mengikut protokol keselamatan, penduduk di kawasan sekitar perlu dipindahkan sementara sebelum bahan letupan itu dialihkan.

    Juruteknik kanan Pelupusan Bahan Letupan (EOD), Sichan Duangsaly berkata, bom dipindahkan ke kawasan pelupusan selamat di Kampung Ban Talaeo, daerah Saravane, untuk dimusnahkan.

    “Operasi tersebut melibatkan tiga pasukan pelupusan dengan 31 anggota, enam sekatan keselamatan, dan empat zon pemindahan bagi memastikan keselamatan awam,” katanya sambil menjelaskan yang sebuah trak kren digunakan untuk mengangkut bahan letupan itu.

    Beliau turut menggesa orang ramai supaya segera melaporkan sebarang objek mencurigakan atau menyerupai bahan letupan dengan menghubungi talian hotline UXO di 1603 atau menghubungi pejabat UXO Saravane.

    Semua perkhidmatan respons UXO disediakan secara percuma. – Bernama

    Gambar Freepik.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda