Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bomba sahkan insiden tular

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini mengesahkan insiden lantai roboh yang berlaku di sebuah rumah di Kampong Ayer ketika majlis keramaian menyebabkan ramai orang termasuk kanak-kanak terjatuh ke dalam air.

    Jurucakap bomba ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku pada malam 25 Mac lalu di mana lantai rumah berkenaan yang terletak di Kampung Setia ‘B’ dipercayai tidak dapat menampung ramai jemputan, lalu roboh.

    Video insiden tersebut yang tular melalui media-media sosial menunjukkan semasa kejadian kanak-kanak sedang bermain ‘kerusi dan muzik’ dalam suasana meriah sambil disaksikan oleh ramai tetamu, kebanyakannya wanita.

    Suasana kemudiannya menjadi kelam kabut dengan suara jeritan mangsa-mangsa apabila lantai tiba-tiba roboh menyebabkan semua yang ada di situ jatuh ke bawah.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak menerima sebarang panggilan kecemasan yang berkaitan dengan kejadian tersebut.

    Anggota bomba melakukan pemeriksaan di tempat kejadian.
    Anggota bomba melakukan pemeriksaan di tempat kejadian.
    Imej daripada rakaman video tular di media sosial memperlihatkan orang ramai terjatuh serentak ke dalam sungai akibat lantai roboh.
    Imej daripada rakaman video tular di media sosial memperlihatkan orang ramai terjatuh serentak ke dalam sungai akibat lantai roboh.

    Bagaimanapun, menurut pihak bomba, mereka telah pergi ke lokasi kejadian hari ini sejurus mengetahui mengenai berita berkenaan melalui media sosial untuk mengesahkan kejadian dan membuat penyiasatan lanjut.

    Katanya, tidak ada sebarang kecederaan akibat kejadian tersebut dilaporkan. Berikutan kejadian tersebut orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa mengadakan majlis keramaian dengan mengambil kira aspek-aspek keselamatan umpamanya kekukuhan dan struktur rumah dan kawasan yang digunakan adalah dalam keadaan selamat.

    Orang ramai juga disarankan untuk menghubungi terus ke talian kecemasan 995, 991 atau 993 apabila berlaku sebarang kecemasan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda