KUALA LUMPUR, 11 MEI – Sebanyak 18 individu termasuk tujuh kanak-kanak menghadapi detik cemas selepas terperangkap dalam kejadian kepala air ketika sedang beriadah di Sungai Lepoh, Hulu Langat, Selangor, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu, pada 5:09 petang.
Beliau berkata sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dengan tujuh pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Komander Operasi melaporkan terdapat 18 mangsa terdiri daripada tiga lelaki, lapan wanita dan tujuh kanak-kanak terkandas akibat kepala air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata kesemua mangsa berjaya diselamatkan pada 6:32 petang.
Sementara itu, dalam kejadian kepala air di Alang Sedayu, Jalan Gombak Lama, empat mangsa berjaya diselamatkan orang awam.
Ahmad Mukhlis berkata enam pegawai dan anggota daripada BBP Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian, selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.45 petang, sebelum menyelamatkan tiga lagi mangsa terkandas akibat kejadian itu.
“Keseluruhan tujuh mangsa berumur 15 hingga 31 tahun dibawa ke tempat selamat,” katanya. – Bernama
