Sunday, December 15, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bomba sukarela, komuniti cara terbaik tangani kecemasan

    SIBU, 30 JAN – Penubuhan pasukan bomba sukarela dan bomba komuniti menjadi kaedah terbaik untuk menangani kes kebakaran dan usaha menyelamat awal di kawasan penempatan pedalaman yang bertaburan seperti di Sarawak.

    Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata penduduk di kawasan pedalaman negeri itu, digalakkan menubuhkan pasukan sukarela supaya mereka dapat memberikan tindakan awal apabila
    berlakunya sesuatu kecemasan seperti kebakaran.

    Berikutan keluasan Sarawak yang mempunyai topografi dan geografi yang kompleks, beliau berkata sukar bagi pihak bomba dan penyelamat untuk memberikan tindak balas di bawah 10 minit, iaitu purata masa tindak balas yang ditetapkan di peringkat kebangsaan.

    “Sebab itu kita membangun dan menggalak penubuhan pasukan bomba sukarela dan bomba komuniti, yang akan menjadi pihak yang pertama bertindak apabila berlakunya kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Selangau, 78 kilometer dari sini hari ini.

    Mohammad Hamdan berkata kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin yang merangkumi sebahagian daripada Selangau, mempunyai lebih 400 buah rumah panjang yang kedudukan mereka bertaburan dan jauh dari balai bomba berkenaan.

    Beliau berkata pasukan bomba sukarela itu akan didaftar di bawah JBPM Sarawak, dengan keanggotaannya hendaklah terdiri daripada penduduk setempat yang menjaga kawasan masing-masing dan akan dibekalkan dengan peralatan asas dan juga diberi latihan.

    “Di samping itu, jika pasukan sukarela ini sudah berdaftar dengan bomba, mereka akan mendapat geran sebanyak RM3,000 setahun untuk perbelanjaan pentadbiran dan juga pengurusan, dan dari semasa ke semasa kita akan membantu juga dari segi penyelenggaraan peralatan,” ujarnya. – Bernama

    Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid bercakap kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda