Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bomba: Waspada berkhemah di tepi sungai

    SIBU, 13 FEB – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengingatkan orang awam yang ingin mengadakan aktiviti riadah di tebing sungai agar sentiasa berwaspada dan peka kepada perubahan air sungai di sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

    Ketua Bomba Zon Sibu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Andy Alie berkata ini bagi mengelakkan mereka terdedah kepada bahaya kejadian kepala air.

    Katanya tanda-tanda awal akan berlakunya kejadian kepala air ialah apabila paras air yang meningkat dengan cepat, perubahan warna air, kederasan arus dan keberadaan puing-puing asing yang timbul di permukaan air.

    Menurut beliau sekiranya tanda-tanda awal itu dikesan mereka perlu segera mengambil langkah keselamatan dengan berpindah ke kawasan lebih selamat dan menghubungi pihak bomba.

    “Nasihat saya kepada orang awam supaya berhati-hati ketika menjalankan aktiviti perkelahan, khususnya sepanjang musim Monsun Timur Laut ini. Mereka perlu tahu stituasi cuaca semasa dan memastikan tapak perkhemahan didirikan di jarak selamat dari tepi sungai,” katanya kepada Bernama.

    Beliau mengulas kejadian sembilan keluarga dari Bintulu yang beriadah dengan berkhemah serta bermalam di tepi Sungai Yong di Kapit yang terperangkap dalam kejadian kepala air pada Ahad lepas.

    Andy berkata orang awam juga diminta memaklumkan balai polis berhampiran sekiranya hendak melakukan aktiviti berkhemah atau beriadah di kawasan sungai atau lokasi rekreasi air yang bukan kawasan rekreasi awam. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda