Friday, March 28, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bon voyage Yuan Meng!’

    SAINT-AIGNAN, 25 JULAI – Panda gergasi pertama yang dilahirkan di Perancis telah dihantar pergi dengan penuh emosi hari ini apabila ia meninggalkan zoo Perancis sebelum penerbangan jarak jauh pulang ke negara nenek moyangnya, China.

    Yuan Meng, yang dilahirkan pada 2017 di zoo Beauval di wilayah Loire, Perancis, disambut dengan sorakan oleh para pengunjung dan kakitangan zoo ketika ia diiringi dengan polis pengiring ke lapangan terbang Charles de Gaulle untuk penerbangan China Airlines selama 12 jam ke bandar Chengdu di China.

    Dilatih selama beberapa hari untuk bersiap sedia dengan selesa untuk perjalanan itu, anak kepada Yuan Zi dan Huan Huan – pasangan panda pertama yang dipinjamkan kepada Perancis oleh pihak berkuasa China pada 2012 – tidak menunjukkan banyak keraguan untuk masuk ke dalam sangkar khasnya yang dipenuhi dengan buluh untuk perjalanannya.

    “Semuanya berjalan lancar. Ia berpisah dengan ibu bapa dan adik-beradiknya, dengan linangan air mata penjaganya,” kata Rodolphe Delord, ketua zoo.

    “Kini ia boleh terus menjalani kehidupan yang baik. Momen yang penuh emosi ini tidak dapat dielakkan, tetapi semua haiwan kami yang dilahirkan di sini terpaksa pergi satu hari nanti. Kami sudah biasa dengan itu,” tambahnya.

    Beratus-ratus peminat beruang hitam dan putih itu mengharungi hujan pagi untuk mengucapkan selamat tinggal kepada beruang yang menawan itu.

    “Ia menyedihkan, kami sayangkan panda-panda itu. Tetapi kami tahu Yuan Meng akan mendapat kehidupan yang lebih baik di sana, demi kebaikan spesies itu,” kata Caroline Bernard.

    Anak perempuannya Lilou, sembilan tahun, kurang bersemangat.

    “Saya menangis, saya sedih ia akan pergi. Tetapi saya cuba memberitahu diri saya bahawa ia akan menjadi lebih baik di sana. Ini untuk kebaikannya sendiri,” katanya, matanya merah dengan air tangisan. – AFP

    Para pengunjung menyaksikan Yuan Meng dalam kandangnya di zoo Beauval, Saint-Aignan, Perancis pada 24 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda