HANOI – Di sebuah teater yang gelap di pusat Hanoi, seekor naga kayu muncul dari kolam dengan bunyi simbal memenuhi suasana di sebuah pertunjukan boneka air tradisional yang menarik ratusan pelancong setiap hari.
Di belakang pentas berkenaan, di sebalik skrin buluh nipis, kira-kira 20 dalang berada di dalamnya.
“Boneka itu cukup berat… dan air juga menimbulkan beberapa rintangan,” kata dalang Nguyen Thu Hoai.
“Tetapi dengan adanya beberapa tahun latihan dan pengalaman, ia dapat membantu kami untuk mengawalnya,” tambah Hoai, yang mana seperti kebanyakan rakannya yang telah tamat pengajian dari Kolej Teater dan Pawagam Hanoi.
Sebilangan boneka mempunyai berat sehingga 10 kilogram dan yang terbesar, seperti boneka pari-pari berukuran satu meter tinggi, memerlukan empat orang untuk memanipulasikannya.


Pertunjukan di teater Thang Long Hanoi itu telah menjadi tumpuan pengunjung yang telah menarik ribuan pengunjung setiap minggu, termasuklah bagi mereka yang baru menontonnya buat pertama kali.
“Saya tidak pernah melihat persembahan boneka seperti ini di air,” kata pelancong daripada Amerika, Caroline Thomoff, kepada AFP selepas persembahan tersebut.
“Saya dapat melihat seperti orang memancing, menari dan pelbagai jenis persembahan yang berbeza-beza.”
Vietnam adalah tempat kelahiran seni kebudayaan yang berusia berabad-abad lamanya yang muncul di kawasan padi di bahagian utara sebagai satu bentuk hiburan buat para petani.
Rekod paling awal mengenai persembahan itu adalah pada stele abad ke-12 yang masih berdiri teguh di sebuah pagoda di wilayah utara Ha Nam, tetapi ahli sejarawah mengatakan bahawa boneka air ini mungkin muncul lebih awal lagi.
Persembahan-persembahan tersebut secara tradisinya menonjolkan kisah dongeng lama dan mitos tradisi, seperti cerita ibarat Hanoi yang begitu terkenal, iaitu mengenai pedang berharga raja Vietnam yang pernah digunakan untuk menentang penceroboh dari China.
Boneka-boneka tersebut tidak banyak berubah. Kebanyakannya dihasilkan daripada kayu dan diusahakan menggunakan tangan. Antara yang dihasilkan ialah binatang, bot-bot, petani atau ikan yang dicat dengan warna emas, merah dan juga hijau, menurut Chu Luong, pengarah teater Thang Long.
“Apabila anak-anak kami dan generasi seterusnya melihat persembahan ini, ianya perlu dikekalkan seperti versi asal,” katanya kepada AFP.


Walaupun sudah lama dimainkan, pertunjukkan itu hanya menarik sedikit perhatian daripada penduduk tempatan, terutamanya golongan milenium.
Lebih separuh daripada 93 juta rakyat Vietnam berada di bawah linkungan 30 tahun dan lebih memilih kepada hiburan berbentuk digital.
“Terdapat jenis bentuk hiburan baharu pada masa ini, peranti elektronik dan Internet, jadi selain daripada festival ini, kami tidak dapat melakukannya sepanjang masa kerana warga tempatan tidak banyak menontonnya,” kata Pham Dinh Viem, pengukir boneka generasi ketiga dari sebuah perkampungan kraf di wilayah Thai Binh.
Sama seperti pertukangan boneka di kampung tersebut, Viem tidak mampu memperolehi pendapatan yang mencukupi untuk menyara kehidupan keluarganya dari pembuatan boneka bertali ini, jadi dia mengambil pekerjaan tambahan lain sebagai seorang buruh manual.
Tetapi dia berazam dan berharap agar generasi akan dapat merasakan dan meneruskan minatnya ini, yang terus mengalir di dalam dirinya.
Walaupun minat penduduk tempatan terhadap persembahan itu berkurangan, namun adanya petanda bahawa boneka air ini akan diminati dan menjadi tarikan di luar negara.
Pengarah dari Kanada, Robert Lepage, telah kembali ke Toronto tahun ini dengan penyesuaian opera Stravinsky ‘The Nightingale’, di mana tempat orkestra itu telah diubah menjadi kolam air, khas disediakan untuk penyanyi-penyanyi yang mengendalikan boneka tersebut.
Bagi pembuat boneka Viem, pendekatan inovatif ini mungkin menjadi bahan rahsia untuk menghidupkan semula tradisi berabad-abad lamanya dalam kalangan penduduk tempatan.
“Sekiranya skrip dan persembahan tidak berubah, ianya mustahil untuk mempersembahkannya kepada penonton dalam jangka panjang,” katanya. – AFP