Thursday, March 6, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bongkah ais terbesar hanyut di Antartika

    PARIS, 5 MAC – Bongkah ais terbesar di dunia, A23a, dilaporkan hanyut kira-kira 70 kilometer dari Pulau Georgia Selatan, sekali gus berpotensi menyelamatkan habitat penting hidupan liar di kawasan itu, menurut penyelidik kelmarin.

    Bongkah ais terbesar itu, yang dua kali ganda lebih besar daripada Greater London dan seberat hampir satu trilion tan, telah hanyut ke utara dari Antartika sejak 2020.

    Sebelum itu, para saintis bimbang A23a mungkin melanggar pulau itu atau terdampar di perairan cetek berhampiran, yang boleh menjejaskan anjing laut dan penguin untuk mencari makanan bagi anak haiwan.

    Bagaimanapun, menurut British Antarctic Survey (BAS), bongkah ais itu telah berhenti bergerak sejak 1 Mac, pada jarak 73 kilometer dari pulau berkenaan.

    “Jika bongkah ais ini kekal terdampar, ia tidak akan memberi kesan ketara kepada hidupan liar tempatan,” kata pakar oseanografi BAS, Andrew Meijers.

    Pemandangan landskap di Stesen Palmer AS di Pulau Anvers, Antartika, pada 21 Januari lalu. – AFP

    Menurutnya, dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kebanyakan bongkah ais yang melalui Lautan Selatan akan pecah, tersebar dan cair dengan sendirinya.

    Imej satelit yang dianalisis oleh AFP menunjukkan bahagian paling hanpir A23a berhenti bergerak sejak akhir Februari, namun masih belum dapat dipastikan sama ada bongkah ais ini akan kekal terdampar atau kembali bergerak.

    Bongkah ais terbesar dan tertua dunia, A23a, terpisah dari lapisan ais Antartika sejak 1986 dan kekal terdampar selama lebih 30 tahun sebelum akhirnya bergerak bebas pada 2020.

    Perjalanan perlahan bongkah ais seberat hampir satu trilion tan ke utara sering terganggu oleh arus lautan, menyebabkan ia kadangkala berpusing di tempat yang sama sebelum meneruskan pergerakan.

    Sebelum itu, imej satelit menunjukkan A23a tidak mengalami keretakan besar sepanjang laluannya seperti bongkah ais lain.

    Namun, pada Januari lalu, bongkah ais sepanjang 19 kilometer dilaporkan telah terpisah daripada struktur asalnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda