Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Para peniaga menjangka jualan barangan mereka akan menunjukkan peningkatan dalam masa beberapa hari mendatang apabila warga perkhidmatan awam dan sebilangan warga perkhidmatan swasta akan menikmati pemberian bonus sebagai insentif kepada pekerjaan yang dilaksanakan oleh mereka sepanjang tahun.
Pada masa yang sama, dengan tawaran-tawaran istimewa yang diberikan oleh sebilangan perniagaan semasa promosi jualan Brunei Salebration (BSb) 2024, ia setentunya akan merancakkan lagi jualan bagi peniaga-peniaga tempatan.
Dalam tinjauan Media Permata di beberapa lokasi tumpuan membeli-belah di sekitar Daerah Brunei dan Muara, mendapati bahawa peniaga-peniaga mempamerkan dan membuat tawaran istimewa sepanjang tempoh jualan.
Salah seorang penyelia jualan sebuah kedai gajet di Serusop, Cyril Chua menyatakan bahawa mereka menjangkakan jualan barangan gajet akan menunjukkan peningkatan dalam masa beberapa hari mendatang ini terutamanya apabila bonus bagi perkhidmatan awam dan swasta dikeluarkan.
Beliau berkata mereka telah menerima maklum balas yang positif melalui kunjungan daripada pelanggan-pelanggan yang berminat dengan barangan gajet yang ditawarkan terutamanya dengan tawaran promosi yang berbaloi.
Sebilangan pelanggan tambahnya, sedang membuat pembandingan harga dan beliau yakin bahawa harga yang ditawarkan oleh mereka bukan sahaja kompetitif tetapi juga menarik minat pembeli.
Mengulas mengenai keadaan jualan pada masa ini, Cyril menerangkan bahawa sejak mulanya BSb 2024, jualan di kedainya ada menunjukkan sedikit peningkatan tetapi beliau menjangka ia akan meningkat lagi setelah pemberian bonus nanti.
Pada masa yang sama, beliau akui bahawa pada hujung tahun, orang ramai termasuk pelanggan mereka, mungkin mengambil kesempatan musim cuti sekolah untuk melancong ke luar negara bersama keluarga dan ia sedikit-sebanyak menjejaskan jualan.
Tetapi dengan musim persekolahan 2025 yang bakal menjelang, beliau yakin bahawa jualan akan meningkat dalam beberapa hari yang mendatang ini.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Haji Haironi bin Sahat yang sedang membeli-belah bersama keluarga di sebuah pusat membeli-belah, mengulas bahawa pemberian bonus merupakan satu yang amat dinanti-nantikan di mana ia akan digunakan untuk membuat pembelian bagi sebahagian barangan keperluan sekolah dan juga barangan yang dihajati oleh anak-anaknya.
Beliau menyatakan bahawa pada hujung tahun ini, mereka sekeluarga akan menghabiskan masa cuti berkunjung ke tempat-tempat menarik di dalam negara. Beliau menerangkan bahawa keadaan sesak bukan sahaja di sempadan tetapi juga di luar negara, menjadi pendorong bagi mereka untuk lebih cenderung untuk memilih berada di dalam negara serta untuk melawat tempat-tempat menarik yang terdapat di dalam negara.
Haji Haironi menyatakan bahawa sebahagian bonus yang bakal diterimanya akan disimpan untuk digunakan apabila diperlukan dan sebahagiannya akan digunakan bagi mendapatkan barangan untuk keluarga dan juga dirinya.
Beliau menambah bahawa adalah penting untuk mengamalkan sikap berjimat cermat dan sederhana dalam berbelanja.
Pada masa ini, acara jualan murah kebangsaan BSb 2024 sedang berjalan bermula 9 Disember 2024 hingga 9 Februari 2025 di mana acara jualan anjuran Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dihasrat untuk menggalakkan orang ramai membeli-belah di dalam negera semasa musim cuti persekolahan dan musim perayaan.
Acara itu bertujuan untuk membantu peniaga tempatan dengan mempromosi produk dan perkhidmatan mereka serta dihasrat untuk mengetengahkan lawatan pelancongan domestik, menggalakkan penduduk tempatan dan pelancong untuk menikmati pengalaman membeli-belah dalam negara serta meneroka tarikan di Negara Brunei Darussalam.