Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Permohonan bagi Tauliah Mengajar Al-Quran, Agama dan Berceramah Agama bagi Musim Ketiga Ujian Temu Duga Tahun 2025 kini dibukakan bermula 1 Julai hingga 16 Ogos.
Menurut kenyataan Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pemegang tauliah yang akan tamat tempoh sehingga 28 Februari 2026 adalah dinasihatkan agar mengemukakan permohonan pembaharuan tauliah dalam tempoh enam bulan sebelum tamat tempoh berkenaan.
Sementara itu, ujian temu duga akan diadakan pada September hingga Oktober, manakala keputusan ujian dijangka akan diumumkan pada bulan November.
Orang ramai yang berminat dinasihatkan untuk menyemak dengan teliti segala keperluan yang ditetapkan sebelum mengemukakan permohonan. Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Majlis Ugama Islam, KHEU di talian 2381087.
