Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Borang permohonan tauliah mengajar, berceramah ditutup 31 Dis

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Permohonan bagi Tauliah Mengajar Al-Quran, Agama dan Berceramah Agama bagi Musim Pertama Tahun 2026 dibukakan mulai 1 November hingga 31 Disember 2025.

    Menurut kenyataan Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pemegang tauliah yang akan tamat tempoh sehingga 31 Julai 2026 adalah dinasihatkan agar mengemukakan permohonan pembaharuan tauliah dalam tempoh enam bulan sebelum tamat tempoh berkenaan.

    Sementara itu, ujian temu duga akan diadakan pada Januari hingga Februari 2026.

    Menurut KHEU, syarat permohonan adalah seperti warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam; bukan warganegara hendaklah berkhidmat di pusat pengajaran ugama swasta; berumur 18 tahun ke atas; mempunyai kesihatan yang baik, tidak pernah dikenakan atau disabitkan kesalahan jenayah oleh Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil; dan permohonan pembaharuan hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan sebelum tamat tempoh tauliah.

    Kategori permohonan dan syarat kelayakan bagi Kategori 1 iaitu Tauliah Mengajar Al-Quran memiliki kelulusan SSSRU, SPUB, Sijil Perakuan Pengajian Al-Quran atau Talakki Al-Quran, atau kelayakan sebanding; Kategori 2 iaitu Tauliah Mengajar Agama mempunyai kelulusan tertinggi dalam bidang pengajian Islam sekurang-kurangnya Diploma Perguruan Ugama yang diiktiraf; dan Kategori 3 iaitu Tauliah Berceramah Agama mempunyai kelulusan tertinggi dalam bidang pengajian Islam sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf.

    Manakala, syarat-syarat utama bagi semua permohonan adalah boleh membaca Al-Quran dengan fasih, lancar dan bertajwid, menguasai hukum-hukum tajwid dan mempunyai pengetahuan kukuh dalam fardhu ain dan kifayah.

    Untuk maklumat lanjut mengenai tauliah kebenaran mengajar agama, orang ramai boleh melayari laman sesawang KHEU, www.mora.gov.bn atau mengimbas kod QR yang disediakan.

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda