Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Boris badai tengah Eropah, 18 terbunuh

    VIENNA, 17 SEPT – Banjir yang dicetuskan oleh Ribut Boris di tengah Eropah telah menyebabkan empangan pecah, bekalan elektrik terputus dan menyebabkan sekurang-kurangnya 18 kematian, kata pihak berkuasa kelmarin, ketika lebih ramai orang sedang dipindahkan.

    Angin kencang dan hujan lebat yang luar biasa telah melanda kawasan-kawasan di Austria, Republik Czech, Hungary, Poland, Romania dan Slovakia sejak Jumaat.

    Hujan telah membanjiri jalan raya dan menenggelamkan seluruh kawasan kejiranan di beberapa tempat, manakala pengangkutan awam dan bekalan elektrik terjejas di kawasan lain.

    Ribut tersebut telah meragut tujuh nyawa di Romania, empat di Poland, empat di Austria dan tiga di Republik Czech, menurut angka terkini. Beberapa orang masih hilang.

    “Saya telah tinggal di kawasan ini selama kira-kira 25 tahun, dan saya belum pernah melihat banjir seteruk ini sebelum ini,” kata Thomas Hofbauer, 57, penduduk Vienna, kepada AFP ketika menggambarkan sungai yang biasanya tenang di ibu kota Austria itu telah berubah menjadi arus yang deras.

    Pakar mengatakan bahawa perubahan iklim yang disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau daripada aktiviti manusia sedang menambah kekerapan dan intensiti peristiwa cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan banjir. – AFP

    Sebuah kereta tersepit di antara pokok-pokok selepas banjir di Ladek-Zdroj, selatan Poland, pada 16 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda