KUALA LUMPUR, 24 MAC – Borong, sebuah syarikat e-perolehan teknologi dan e-pasaran perniagaan ke perniagaan tempatan, telah dinobatkan sebagai syarikat kedua yang berkembang paling pesat di rantau Asia Pasifik dalam senarai Financial Times High-Growth Companies Asia-Pacific 2025.
Penarafan berprestij ini yang mendapat kerjasama Statista mengiktiraf syarikat-syarikat yang mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tertinggi dalam pendapatan dari 2019 hingga 2023.
Dalam satu kenyataan hari ini, Borong berkata ia merupakan syarikat Malaysia yang meraih kedudukan tertinggi dalam senarai tahun ini dan satu daripada hanya tujuh syarikat dari Malaysia tersenarai dalam kalangan 500 syarikat berprestasi tinggi di 13 ekonomi Asia Pasifik.
Syarikat-syarikat lain termasuk dari Jepun, Korea Selatan, India, Singapura, Australia dan banyak lagi, memberi tumpuan kepada syarikat yang mencapai prestasi luar biasa dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi.
“Senarai ini merupakan penanda aras bagi kejayaan keusahawanan di rantau ini. Syarikat-syarikat dipilih berdasarkan data bebas dan metodologi yang ketat yang menilai CAGR, pertumbuhan pendapatan mutlak dan ketelusan. – Bernama
