ATHEN, 7 Nov – Jurulatih Greece, Michael Skibbe mengecam keputusan FIFA untuk menggantung pemain pertahanan Roma, Kostas Manolas daripada playoff Piala Dunia pertama di Croatia.
Jumaat lepas, Jawatankuasa disiplin FIFA telah mengenakan Monalas penggantungan satu perlawanan selepas dia dinilai sengaja membiarkan dirinya dilayangkan kad kuning kerana membuang masa dalam kemenangan 2-1 Greece ke atas Cyprus bulan lepas.
Kad kuning itu menyebabkan Manolas digantung dalam perlawanan terakhir kumpulan di Greece, kemenangan 4-0 ke atas Gibraltar, tetapi pemain berusia 26 tahun itu kini juga terlepas kunjungan ke Zagreb.
“Saya tidak tahu bagaimana ia diputuskan. Kami berada di depan 2-1 menentang Cyprus dan dalam beberapa minit terakhir setiap pasukan di seluruh dunia membiarkan para pemain mendapat kad kuning kerana membuang masa,” kata Skibbe.
“Jadi Manolas mendapat kad kuning dan tidak bermain menentang Gibraltar. Dan kini FIFA telah membuat keputusan empat minggu kemudian untuk menghukumnya atas kesalahan yang dibuat oleh semua orang.” – AFP
