Bos NBA: Pemain mahu musim diteruskan

NEW YORK, 27 MEI – Pemain NBA sebulat suara mahu meneruskan musim 2019-20 tetapi ‘memerlukan kepastian’ dalam pelan pengembalian, kata pengarah eksekutif kesatuan pemain Michele Roberts.

Bos Persatuan Pemain Bola Keranjang Kebangsaan itu memberitahu ESPN dalam laporan semalam bahawa kebanyakan pemain menyokong idea untuk meneruskan kempen yang ditutup pada Mac akibat pandemik koronavirus.

“Sudah tiba masanya,” beritahu Roberts kepada ESPN. “Sudah dua setengah bulan berlalu. Pemain saya memerlukan kepastian. Saya fikir semua orang pun rasa begitu.”

NBA, dengan pemain mereka mengadakan latihan individu di pusat pasukan di mana dibenarkan, sedang meninjau pelan untuk meneruskan musim pada akhir Julai di Didney World di Orlando, Florida, walaupun butir-butir muktamad pelan masih belum diputuskan.

Liga dan kesatuan telah mengadakan rundingan mengenai penyambungan musim NBA dan Roberts berkata beliau merancang bercakap kepada pemain dalam 30 pasukan pada minggu akan datang untuk memaklumkan kepada pemain mengenai langkah keselamatan pelan bertujuan mengelak pemain daripada dijangkiti dan apa yang akan berlaku sekiranya seorang pemain dijangkiti virus itu.

“Pemain kami perlu tahu,” kata Roberts. “Kepastian adalah baik. Namun pemain benar-benar mahu bermain.”

Pemilik pasukan NBA merancang mengadakan telesidang pada Jumaat yang mungkin mendedahkan butir-butir lanjut mengenai perlindungan COVID-19 dan pelan kepulangan penuh. – AFP

Gambar fail menunjukkan Michele Roberts menyampaikan ucapan di Jawatankuasa Perdagangan, Sains dan Pengangkutan Senat di Capitol Hill, Washington DC. – AFP