MOSCOW, 29 Mac – Ketua tinju Rusia, Umar Kremlev membuat tawaran untuk melangsaikan hutang Persekutuan Tinju Antarabangsa (AIBA) sebanyak AS$16 jta sekiranya ia dibenarkan terus bertanggungjawab bagi Olimpik Tokyo 2020.
Pendekatan tidak ortodoksnya hadir semasa nasib tinju bagi Sukan tahun depan tergantung pada keputusan siasatan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) ke atas AIBA.
Kremlev, dalam sepucuk surat kepada IOC, berkata bahawa dia “bersedia untuk melangsaikan hutang AIBA dengan syarat sukan kegemaran kami kekal dalam program Olimpik.”
IOC telah membekukan persiapan tinju bagi Tokyo sementara ia mencari bukti bahawa AIBA sudah bersih daripada sebarang pertuduhan selepas adanya dakwaan pengaturan pertarungan di Olimpik Rio 2016.
Siasatannya juga meliputi pentadbiran AIBA dan program antidadah.

Hubungan antara AIBA dan IOC semakin teruk apabila Gafur Rakhimov dilantik menjadi presidennya pada November.
Ahli perniagaan Uzbek itu mengundur diri minggu lepas, satu langkah yang dialu-alukan oleh para pemimpin Olimpik.
Kremlev, ahli jawatankuasa eksekutif AIBA dalam suratnya menambah, “Saya mahu melakukan ini agar tinju kekal dalam Pergerakan Olimpik dan masalah kewangan tidak lagi menjadi salah satu sebab kenapa masa depan tinju terancam.”
Kremlev akan menggunakan wangnya sendiri bagi melangsaikan hutang AIBA, menurut Persekutuan Tinju Rusia kepada Inside Games.
IOC mengumumkan bahawa ia akan memberikan keputusan akhir bagi nasib tinju di Tokyo pada 22 Mei.
Jika penggantungan Olimpik AIBA dikekalkan, IOC berkata ia akan mengambil alih bagi memastikan sukan itu tersenarai di Tokyo. – AFP