Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bosch beli unit penyaman udara AS bernilai AS$8 bilion

    FRANKFURT, 23 JULAI – Syarikat Jerman, Bosch, mengumumkan hari ini mereka merancang membeli aset pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) daripada Johnson Controls International (JCI), dalam satu perolehan bernilai AS$8 bilion yang dianggap sebagai ‘yang terbesar’ dalam sejarah kumpulan itu.

    Perjanjian itu akan membantu Bosch ‘mencapai kedudukan global terkemuka dalam pasaran HVAC’ dan memberikan ‘keseimbangan yang lebih baik’ dalam portfolio mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Stefan Hartung, dalam satu kenyataan.

    Sebagai sebahagian daripada transaksi dengan JCI yang berpangkalan di Milwaukee, Bosch juga akan memperoleh 100 peratus pegangan dalam usaha sama unit penyaman udara, Johnson Controls-Hitachi, tambah kenyataan tersebut.

    Perjanjian itu, yang masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, dijangka selesai dalam tempoh kira-kira 12 bulan.

    Gergasi teknologi dan kejuruteraan Jerman itu berkata ia adalah ‘perolehan terbesar dalam sejarah Bosch’ dan akan merangsang kehadirannya di Amerika Syarikat (AS) dan Asia.

    Pembelian itu dijangka menambah dua kali ganda pendapatan jualan Bosch dalam pasaran HVAC kepada kira-kira sembilan bilion euro setahun, menurut kenyataan tersebut.

    Bosch menambah bahawa mereka melihat pasaran HVAC global berkembang sebanyak 40 peratus menjelang 2030, didorong oleh kemajuan teknologi, usaha memerangi perubahan iklim dan peraturan baharu. – AFP

    Gambar menunjukkan bangunan utama pengeluar semikonduktor Jerman, Bosch di Dresden pada 12 Julai 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda