BERLIN, 2 Mei – Syarikat Bosch Jerman, pembekal alat ganti terbesar dunia, hari ini berkata ia telah menjual anak syarikatnya yang membuat penghidup motor (starter motor) dan penjana kuasa kepada pembeli China.
Bagaimanapun ia tidak mendedahkan harganya, namun sumber-sumber industri menjangkakan ia bernilai lebih dari 500 juta euro (AS$550 juta).
Pembeli-pembelinya ialah Zhengzhou Coal Mining Machinery Group Co. (ZMJ) dan sebuah syarikat pelaburan di Hong Kong, menurut syarikat Jerman itu dalam satu keterangan. Pembelian mereka ke atas Robert Bosch Starter Motors Generators Holding GmbH (SG) masih tertakluk kepada kelulusan oleh anti pakatan dan pihak-pihak berkuasa lain.
Para pembeli itu berkata mereka akan mengekalkan hampir 7,000 kakitangan syarikat itu di 16 lokasi dalam 14 negara.

“ZMJ akan menyokong SG dalam mengembangkan lagi portfolio produk kompetitifnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ZMJ, Chengyao Jiao dalam satu keterangan. “Meningkatkan kehadiran serantau, terutamanya di Asia, akan membenarkan perniagaan SG untuk berkembang secara mapan dan untung.”
ZMJ merupakan pembekal automotif utama China, membuat penghidup motor dan penjana kuasa dan juga komponen enjin bagi kenderaan-kenderaan komersial dan kereta-kereta penumpang.
Bosch yang berpangkalan di Stuttgart, satu syarikat keluarga yang tidak tersenarai, juga membuat produk-produk perindustrian, produk isi rumah dan mesin pertukangan.
Dengan 390,000 pekerja seluruh dunia, ia menempah 73.1 bilion euro dalam perolehan tahun lepas dan akan membentangkan keputusan-keputusannya bagi tahun 2016 pada sidang media tahunannya Khamis ini. – AFP