Friday, November 1, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bosnia tahan lapan suspek pemerdagangan manusia

    SARAJEVO, 31 OKT – Polis Bosnia menahan lapan individu yang disyaki menjadi sebahagian daripada sindiket pemerdagangan manusia yang menyeludup kira-kira 1,400 pendatang tanpa izin ke Itali, kata pihak berkuasa kelmarin.

    “Ahli kumpulan penjenayah itu mengatur penyeludupan kira-kira 1,400 pendatang tanpa izin dari Pakistan, Afghanistan, India, Eritrea dan China,” kata Dragana Kerkez, jurucakap kementerian dalam negeri di Bosnia yang dikendalikan oleh Serb, kepada AFP.

    Lapan suspek itu ditahan di beberapa bandar di utara Bosnia semasa operasi yang dijalankan dengan kerjasama Europol, polis Croatia, Slovenia dan Itali.

    Semasa serbuan itu, polis turut merampas senjata, lebih AS$55,000 dan kereta serta bot terpakai, kata jurucakap itu sambil menambah kumpulan itu juga disyaki mengedar dadah.

    Kumpulan itu menggunakan sistem rangkaian komunikasi yang disulitkan Sky ECC, yang telah dipecahkan pada 2019 oleh pasukan penyiasat Belgium, Belanda dan Perancis.

    Gambar Freepik

    Itu memberi pihak berkuasa akses yang tidak pernah terjadi sebelum ini terhadap maklumat mengenai kegiatan kumpulan penjenayah paling berbahaya, termasuk di Balkan.

    Bosnia terletak di sepanjang laluan yang dikenali sebagai laluan Balkan yang kerap digunakan oleh pendatang untuk sampai ke Kesatuan Eropah.

    Menurut Kerkez, kumpulan itu memperdagangkan manusia dengan terlebih dahulu membawa mereka ke negara jiran, Croatia.

    Dari sana, mereka diangkut dengan kereta dan trak ke Itali, tambahnya.

    Pihak berkuasa Bosnia dan Croatia kerap menangkap penyeludup manusia dalam usaha yang berterusan dengan harapan dapat membendung lonjakan pendatang yang menuju ke EU. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda