SAN FRANCISCO, 29 MEI – Ketua Meta, Mark Zuckerberg memuji pembantu kecerdasan buatan generatif (Gen AI) daripada syarikat teknologi itu, kelmarin.
Beliau turut memberitahu aplikasi itu digunakan oleh satu bilion orang setiap bulan di seluruh platform mereka.
Zuckerberg sekali lagi menegaskan pencapaian itu semasa mesyuarat tahunan Meta, ketika syarikat media sosial itu bersaing dengan Google, Microsoft, OpenAI dansyarikat lain untuk menjadi peneraju dalam bidang Gen AI.
Namun, tidak jelas berapa banyak penggunaan Meta AI yang melibatkan pengguna aktif yang mencari chatbot berbanding pengguna pasif, kerana aplikasi tersebut dibina dalam ciri-ciri aplikasi keluarga Meta.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai, sejak Google memperkenalkan AI Overviews dalam hasil carian setahun lalu, ia telah berkembang kepada lebih daripada 1.5 bilion pengguna.
“Ia bermakna Google Search membawa Gen AI kepada lebih ramai orang, berbanding produk lain di dunia,” kata Pichai.
AI Overviews Google adalah ringkasan automatik hasil carian yang dipaparkan menggantikan amalan lama hanya menunjukkan halaman pautan biru ke laman web berkaitan.
Pichai berkata minggu lalu aplikasi AI Gemini khusus Google mempunyai lebih 400 juta pengguna bagi setiap bulan. – AFP
