BANDA ACEH, 14 OGOS – Tujuh orang termasuk empat pelancong Australia hilang apabila bot mereka berhadapan cuaca buruk di pesisir pulau Sumatera dan penyelamat sedang menjalankan usaha mencari dan menyelamat, kata pegawai hari ini.
Dua buah bot membawa 17 orang meninggalkan pulau Nias menuju ke pulau persendirian, Pinang pada Ahad, menurut ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Octavianto, sebelum cuaca buruk melanda.
Salah sebuah daripada bot laju itu, dengan 10 orang penumpang, berlindung di pulau berhampiran namun sebuah lagi meneruskan perjalanan.
Penyelamat diberitahu oleh pihak pengurusan pulau peranginan Pinang awal hari ini bahawa bot kedua yang membawa empat orang pelancong Australia dan tiga orang Indonesia, tidak pernah tiba, kata Octavianto.
Dia memberitahu AFP bahawa operasi mencari segera dilancarkan. “Dari pagi sehingga sekarang, kami belum lagi menemui bot laju yang membawa tujuh orang itu,” Octavianto memberitahu AFP.
“Kami akan meneruskan pencarian sehingga malam. Jika tiada hasilnya, pasukan pencari dan penyelamat akan dikerahkan semula esok pada jam 7 pagi,” tambahnya.
Bot kedua yang membawa lapan lagi warga Australia dan dua orang Indonesia, tiba di Pinang lewat semalam, katanya. Dua kapal penyelamat dan sebuah pesawat membantu usaha-usaha mencari.
Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia mengatakan ia bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Australia. – AFP