DHAKA, 2 Mei – Mayat lima orang termasuk dua kanak-kanak ditemui kelmarin, dua hari selepas bot karam di sungai Padma di barat Bangladesh.
Seorang pegawai perkhidmatan bomba di daerah Rajshahi, kira-kira 256 km di barat ibu negara Dhaka, memberitahu Xinhua bahawa bot tersebut bersama enam orang penumpang tenggelam ke dalam sungai Padma lewat Ahad akibat cuaca buruk.
Hanya salah seorang daripada mereka yang berenang ke pantai selepas bot karam, kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan.
“Semua mayat mereka yang hilang telah ditemui (Selasa) pagi,” katanya.
Menurut pegawai itu, perkhidmatan penyelamat bomba telah menemui mayat tiga lelaki dan dua kanak-kanak dari sungai.
Beliau berkata, empat lelaki dan dua remaja pergi untuk melihat sawah padi mereka di sebuah pulau pada petang Ahad dan apabila mereka pulang bot tersebut karam dalam keadaan cuaca ribut.
Bencana feri dan bot adalah sesuatu yang sudah biasa berlaku di Bangladesh. Pengangkutan feri masih merupakan salah satu cara utama pengangkutan di negara ini dan kebanyakan bot feri sering kali dipenuhi oleh orang ramai. – Xinhua