ROM, 9 Jan – Seramai 65 orang penghijrah Afrika, termasuk seorang ibu yang menyelamatkan anaknya berusia tiga tahun yang berpaut padanya ketika lemas, dikhuatiri maut selepas bot getah lebih muatan dari Libya mulai tenggelam di Laut Mediterranean, menurut para pegawai semalam.
Pengawal pantai Itali telah menyelamatkan 86 orang dari bot itu beberapa jam selepas ia mula karam pagi Sabtu lalu ketika memulakan pelayaran dan mulai mengempis, menurut pegawai agensi migrasi PBB.
Para penyelam penyelamat khas yang terlatih terjun ke dalam air untuk menyelamatkan berbelas-belas orang, termasuklah mereka yang dapat bertahan di atas bot separa tenggelam dan juga yang lain telah pun terkapai-kapai di perairan yang sejuk.
Lapan mayat ditemui Sabtu lalu. Para pegawai pada ketika itu berkata kesemua mayat adalah wanita, namun para pegawai migrasi PBB yang telah bertemu dengan kapal penyelamat setibanya semalam di Catania, Sicily, berkata dua dari lapan orang yang terbunuh adalah lelaki dewasa. Memandangkan bot yang digunakan untuk menyeludup penghijrah kerap membawa lebih muatan dengan lebih 100 orang penghijrah, kebimbangan terus muncul Sabtu lalu bahawa berbelas-belas lagi mungkin hilang semasa kejadian karam itu.
Usaha pencarian oleh pegawal pantai Itali yang berterusan sehingga malam tidak menemui mangsa yang terselamat atau pun mayat.
Flavio Di Glacomo dari Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi berkata melalui Twitter semalam bahawa mangsa-mangsa yang terselamat dan ditemu bual oleh agensi di Catania berkata 150 orang berada di bot itu ketika ia memulakan pelayaran dari pantai Libya di timur Tripoli.
“Seramai 64 penghijrah telah terkorban dalam nahas kapal karam yang berlaku Sabtu lalu,” menurut Di Glacomo dengan mengatakan “berkemungkinan 56 orang penghijrah yang hilang” terkorban di laut. – AP