Saturday, July 26, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bot karam abad ke-18 dijumpai di Croatia

    DUBROVNIK, 26 JUN – Sebuah bot abad ke-18 yang karam telah ditemui secara kebetulan berhampiran tembok batu yang megah di pekan zaman pertengahan Croatia, Dubrovnik.

    Ivan Bukelic sedang mengusahakan saluran paip air di pelabuhan lama Dubrovnik pada bulan April apabila dia menemui struktur kayu tertimbus di dasar laut.

    “Saya kini boleh mengatakan saya menemui sebuah bot di Pekan Lama Dubrovnik,” kata Bukelic, yang merupakan penyelam dan pembina dasar laut dari Dubrovnik.

    Dia menambah kapal itu berada kira-kira 60-80 sentimeter di bawah dasar laut.

    Sebuah pelabuhan perdagangan utama di Laut Adriatik pada zaman pertengahan, Dubrovnik telah diisytiharkan sebagai tapak warisan yang dilindungi UNESCO. Ia menarik ramai pelancong, terutamanya semasa musim panas, dan juga dikenali sebagai tapak penggambaran untuk siri Game of Thrones HBO.

    Sisa-sisa bot di pelabuhan lama Dubrovnik telah dilindungi untuk pemeriksaan lanjut.

    “Kami masih tidak boleh bercakap tentang jenis kapal atau dimensinya tetapi kami boleh mengatakan dengan pasti, berdasarkan hasil analisis radiokarbon bahawa ia adalah dari akhir abad ke-18,” kata ahli arkeologi marin, Irena Radic Rossi.

    Radic Rossi berkata matlamatnya adalah untuk meneruskan penyelidikan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan Croatia. “Kita mesti melindunginya untuk masa depan.” – AP

    Seorang penyelam berenang berhampiran bot abad ke-18 yang karam setelah ia dijumpai semula secara kebetulan pada April lalu berhampiran tembok batu di Dubrovnik, Croatia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda