COX’S Bazar, Bangladesh, 31 Okt – Empat etnik Rohingya terkorban hari ini apabila bot mereka karam di luar pantai Bangladesh, kata polis, beberapa jam selepas tiga anak damit mati lemas ketika mereka sampai ke pesisir dalam insiden berasingan.
Sejak lewat Ogos sekitar 200 Rohingya telah mati lemas setelah mereka membuat penyeberangan laut dari Myanmar ke Bangladesh. Keseluruhannya, kira-kira 600,000 anggota dari minoriti Islam telah melarikan diri dari tanah asal mereka yang kebanyakannya penganut Buddha berikutan gelombang keganasan di sana yang PBB gambarkan sebagai pembersihan etnik.
Polis berkata tiga anak damit jatuh ke dalam air ketika bot mereka mendekati pesisir di bandar Teknaf pada malam kelmarin.
“Dua daripada kanak-kanak itu terjatuh daripada pangkuan ibu mereka,” kata ketua polis Teknaf Main Uddin memberitahu AFP. “Kanak-kanak itu berusia antara tiga dan 10 bulan.”
Empat mangsa lain mati lemas apabila bot mereka karam semasa cuaca buruk pagi hari ini ketika ia menghampiri pantai Bangladesh.
“Hampir 33 orang menaiki kapal pukat tunda kecil itu, yang karam selepas ia dibadai ombak besar,” kata ketua pegawai polis tempatan, Abul Khair kepada AFP.
Katanya, seorang meninggal dunia di tempat kejadian sementara enam lagi dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal. Akhirnya, tiga daripadanya meninggal dunia.
Yang selebihnya dihanyutkan atau berjaya berenang ke tepian pantai, tambah Khair.
Katanya lagi semua mangsa adalah etnik Rohingya dari daerah Buthidaung di negeri Rakhine, barat Myanmar. PBB menganggarkan 605,000 anggota minoriti yang ditindas telah melarikan diri sejak 25 Ogos. – AFP