Friday, March 21, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bot karam: Penemuan jaket keselamatan petunjuk baru

    KOTA KINABALU, 5 Feb – Penemuan satu jaket keselamatan berwarna oren menjadi petunjuk baharu bagi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) enam mangsa bot pelancong karam yang masih hilang di perairan Sabah.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata pasukan SAR dari Kapal Maritim Bangi menemui jaket keselamatan itu pada pukul 4:48 petang semalam.

    “Jaket keselamatan itu ditemukan di kedudukan 30 batu nautika barat daya dari lokasi kejadian dan 25 batu nautika barat daya dari Pulau Mengalum.

    “Ia berwarna oren selain tertera tulisan ‘Marina’ menggunakan pen penanda,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Adam berkata jaket keselamatan berkenaan akan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut termasuk membawa jaket itu kepada pemilik bot pelancongan terbabit bagi proses pengecaman.

    Mengulas bedah siasat mayat wanita yang ditemukan nelayan pukat tunda semalam, Adam berkata identiti mayat wanita itu masih belum dikenal pasti dan proses bedah siasat dan pengecaman masih dilakukan.

    Menurutnya, anggota keluarga mangsa yang hadir ke Hospital Queen Elizabeth I di sini bagi membuat pengecaman tidak dapat berbuat demikian berikutan mayat berkenaan dalam keadaan reput.

    “Untuk itu, ujian DNA akan dilakukan. Keputusan pengecaman akan diberikan selepas selesai laporan bedah siasat,” katanya.

    Semalam, nelayan tempatan menemukan satu mayat wanita berbaju merah dan berseluar hitam yang tersangkut pada pukat tunda mereka di perairan antara Pulau Mengalum dan Pulau Tiga pada pukul 9.25 pagi.

    Mayat wanita itu ditemukan di kedudukan lapan batu nautika barat daya Pulau Mengalum dan 13 batu nautika timur laut daripada tempat bot karam serta 20 batu nautika barat laut Pulau Tiga. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda