TAWAU, 27 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan sebuah bot kumpit yang membawa muatan 1,819 kayu malam bersama sembilan lelaki Indonesia berdekatan perairan Tawau di sini, semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tawau Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata bot ronda maritim yang sedang menjalankan Operasi Pluto Timur terserempak dengan sebuah bot kumpit yang mencurigakan yang bersauh di 1.2 batu nautika barat daya Tawau, kira-kira 6.45 petang.
“Hasil pemeriksaan menemukan 1,819 kayu malam (dianggar bernilai RM209,911) dan juragan bot gagal mengemukakan dokumen sah bagi membawa muatan tersebut.
“Ekoran itu juragan dan lapan awak-awak bot berumur 21 hingga 58 tahun ditahan dan seorang daripadanya turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata APMM sentiasa memastikan perairan negara selamat dan usaha mengekang aktiviti melanggar undan-undang di laut akan ditingkatkan.
Beliau berkata orang awam boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan mengenai perlanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi Bilik Operasi Maritim Malaysia Tawau pada talian 089-752115 atau MERS 999 bagi kes kecemasan di laut. – Bernama