SEOUL, 10 MAC – Bot nelayan Korea Selatan yang membawa sembilan anak kapal, termasuk tujuh warga Indonesia, terbalik di luar pantai selatan negara itu kelmarin, menyebabkan enam hilang, kata pihak berkuasa tempatan.
Kapal seberat 29 tan itu terbalik di perairan 68 kilometer di selatan sebuah pulau di bandar pesisir pantai Tongyeong pada awal pagi kelmarin, menurut agensi berita Korea Selatan, Yonhap.
Setakat ini, tiga anak kapal telah diselamatkan tetapi semuanya tidak sedarkan diri, kata pejabat Pengawal Pantai Korea di Tongyeong kepada AFP.
“Kami masih mencari enam individu yang hilang,” kata pegawai Lee Ho-jun.
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk ‘melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dengan menggerakkan semua kakitangan dan peralatan yang ada, termasuk bot tentera laut dan bot nelayan’, kata pejabatnya dalam satu kenyataan.
Kapal yang terbalik itu telah belayar dari pulau paling selatan negara itu, Jeju pada pagi Khamis dan terlibat dalam kegiatan menangkap ikan, kata Yonhap.
Agensi berita itu berkata bot peronda, kapal tentera laut dan pesawat telah dikerahkan untuk usaha pencarian yang sedang berlangsung. – AFP
