KUALA TERENGGANU, 1 FEB – Bot pelancong terlibat dalam insiden pelanggaran dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut petang semalam, didapati membawa penumpang berlebihan iaitu seramai 29 orang, berbanding 12 yang dibenarkan.
Ketua Unit Komunikasi Korporat (UKK) Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Muhammad Shuhaimi Abd Rahman berkata keadaan itu, menyebabkan bot pelancong itu sukar dikawal apabila berlaku pelanggaran, selain turut dipengaruhi faktor cuaca iaitu ombak dan arus laut yang kuat.
Katanya siasatan secara lisan turut mendapati, penumpang bot yang terdiri daripada 15 dewasa, 13 kanak-kanak dan seorang anak damit serta dua kru bot, tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian kira-kira pukul 3:30 petang semalam.
“Akibat pelanggaran tersebut, kesemua penumpang serta kru bot pelancong dan bot nelayan jatuh ke dalam air, dan telah diselamatkan oleh anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. – Bernama