KARACHI, 7 SEPT – Sebuah bot yang menyelamatkan mangsa banjir di timur Pakistan telah terbalik, mengorbankan seorang wanita berusia 70 tahun dan empat kanak-kanak, menurut laporan pihak berkuasa hari ini.
Hujan monsun sejak minggu lalu telah menyebabkan tiga sungai utama yang mengalir melalui wilayah Punjab – kawasan pertanian utama Pakistan yang menempatkan hampir separuh daripada 255 juta penduduk negara itu – melimpah.
“Kejadian berlaku apabila sebuah objek di bawah air melanggar bot penyelamat Rescue 1122,” kata Ketua Pengarah pihak berkuasa pengurusan bencana wilayah, Irfan Ali Kathia, kepada media tempatan.
“Sepuluh orang lain berjaya diselamatkan tetapi malangnya lima orang terkorban dalam insiden itu,” tambahnya mengenai kejadian lewat Sabtu.
Sungai yang melimpah itu kebanyakannya menjejaskan kawasan luar bandar berhampiran tebing sungai, namun hujan lebat turut menyebabkan banjir di kawasan bandar termasuk beberapa bahagian di Lahore – bandar kedua terbesar negara itu.
Walaupun monsun bermusim di Asia Selatan membawa hujan yang diperlukan oleh para petani, perubahan iklim menjadikan fenomena itu semakin tidak menentu dan berbahaya di seluruh rantau ini.
Tanah runtuh dan banjir akibat hujan monsun yang lebih lebat daripada biasa telah meragut lebih 850 nyawa di seluruh negara sejak Jun lalu. – AFP


