TUNIS, 30 SEPT – Sekurang-kurangnya 12 warga Tunisia, termasuk tiga kanak-kanak, ditemui maut selepas sebuah bot pendatang terbalik di luar pantai pulau Djerba di tenggara hari ini, menurut seorang pegawai kehakiman.
Bot tersebut tenggelam pada awal pagi dan 29 orang telah diselamatkan, kata jurucakap mahkamah Medenine, Fethi Baccouche kepada AFP, menambah bahawa lima lelaki dan empat wanita termasuk dalam jumlah yang terkorban, dan punca bot itu tenggelam masih belum diketahui.
Pengawal Nasional Tunisia berkata mereka telah dimaklumkan oleh empat pendatang yang berenang ke pantai.
Tunisia dan Libya yang terletak bersebelahan telah menjadi titik pelepasan utama bagi migran yang mencari kehidupan lebih baik di Eropah, sering kali mempertaruhkan perjalanan berbahaya merentasi Laut Mediterranean. Penghijrahan itu didorong oleh ekonomi Tunisia yang meleset, dengan pertumbuhan hanya 0.4 peratus pada 2023 dan kadar pengangguran yang meningkat.
Negara Afrika Utara itu juga telah dibelenggu krisis politik selepas Presiden Kais Saied mendalangi rampasan kuasa pada Julai 2021.
Setiap tahun, puluhan ribu orang berusaha berhijrah, dengan pulau Lampedusa terletak hanya 150 kilometer dari Itali, sering kali menjadi pelabuhan pertama mereka.
Sejak 1 Januari, sekurang-kurangnya 103 bot telah terbalik dan 341 mayat telah ditemui di luar pantai Tunisia, menurut kerajaan. – AFP