Tuesday, November 26, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Botok-botok jadi buah tangan pilihan semasa PRK Pulai

    JOHOR BAHRU – Botok-botok, sajian tradisional masyarakat Jawa berasaskan ikan segar yang dikukus dengan pelbagai daun, ulam dan rempah-ratus, menjadi ‘buah tangan’ pilihan bagi mereka yang berkunjung ke Johor termasuk ketika musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

    Pemilik restoran Botok-Botok Ibunda, Haleza Mohammad, 57, berkata beliau bersyukur kerana permintaan terhadap botok-botok tidak pernah putus dan sering menjadi juadah kegemaran bukan sahaja masyarakat Johor tetapi juga dari negeri lain.

    “Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, kalau ada pilihan raya di negeri ini, memang orang luar dari Johor akan datang ke sini untuk merasa, mereka juga beli botok-botok sejuk beku untuk dibawa pulang kerana ia boleh tahan hingga tiga bulan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Taman Orkid, Tampoi di sini, baru-baru ini.

    Haleza yang mengusahakan makanan itu sejak tiga tahun lepas, menawarkan enam jenis botok-botok yang menggunakan antaranya ikan tenggiri yang merupakan permintaan paling tinggi, selain ikan kembung dan telur ikan tenggiri. Katanya, pelanggan juga boleh memilih botok-botok ikan merah, ayam, sotong dan udang dengan harga bermula RM15 hingga RM48 untuk satu set.

    “Pucuk-pucuk daun seperti daun pucuk ubi, mengkudu, bebuas, semangkuk, kaduk, pucuk betik serta daun teh akan disusun di atas ikan secara berselang-seli dengan rempah yang siap dikisar dan dibalut dengan daun pisang.

    Daun-daun ini sangat penting untuk membangkitkan aroma hidangan itu,” katanya.

    Menurut Haleza, selepas semua proses siap, botok-botok akan dikukus selama 40 minit hingga satu jam bagi memastikan ia masak sekata dan hidangan ini enak dimakan bersama nasi panas atau dimakan begitu sahaja.

    Bagaimanapun, dia turut berhadapan kekangan untuk mendapatkan daun-daun herba yang lengkap bagi menghasilkan botok-botok asli yang mengikut resipi asal, hidangan itu perlu menggunakan lebih 10 jenis daun herba. – Bernama

    Pemilik Restoran Botok-Botok Ibunda menunjukkan botok-botok ayam dan ikan kembung yang boleh dinikmati pada harga RM15 sebungkus ketika ditemui Bernama di restorannya, di Taman Orkid Tampoi. – Gambar Bernama
    Botok-Botok ikan tenggiri diletakkan di atas daun pisang berselang bersama pelbagai jenis ulam dan rempah sebelum dikukus selama satu jam boleh dinikmati di Restoran Botok-Botok Ibunda dengan harga RM15. – Gambar Bernama
    Pekerja menyiapkan botok-botok ikan tenggiri bersama pelbagai jenis ulam dan rempah. – Gambar Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda