GABORONE, 26 JULAI – Botswana yang menjadi habitat kepada hampir separuh daripada gajah liar Afrika menawarkan 8,000 ekor mamalia itu kepada Angola, kata seorang pegawai kelmarin.
Menteri Luar Botswana, Lemogang Kwape berkata sumbangan itu akan membantu Angola memulihkan sektor pelancongannya.
Beliau berkata sebelum ini kawanan gajah yang besar yang kini berada di Botswana, menyeberang dari Angola untuk mencari tempat perlindungan ketika perang saudara di sana.
“Dan sekarang, kami bersetuju untuk membantu mereka memindahkan beberapa ekor gajah di sana,” katanya.
Botswana menjadi habitat kepada lebih 130,000 ekor gajah, populasi terbesar di dunia.
Seorang pelindung haiwan di Elephants Without Borders, Mike Chase, berkata bahagian tenggara Angola sesuai untuk pemindahan dan menjajarkan semula gajah memandangkan tidak banyak haiwan berkenaan di sana.
Untuk tujuan itu, Angola bersetuju membersihkan periuk api tinggalan perang dan bersama-sama Botswana akan mengalihkan pagar yang menghalang penghijrahan gajah.- Bernama