Bottas azam tewaskan Hamilton

SAO PAOLO, BRAZIL, 15 NOV – Pelumba Mercedes AMG PETRONAS, Valtteri Bottas berkata dia memiliki pelan rahsia untuk menewaskan ‘raja’ Formula Satu (F1), Lewis Hamilton musim depan.

Bottas yang terpaksa menghuni tangga kedua di belakang juara dunia enam kali, Hamilton tahun ini berkata, dia akan mengikut naluri dan memberi tumpuan terhadap kekuatan yang dipercayainya mampu mengatasi pemandu Britain itu, selepas ini.

“Saya mempunyai perancangan untuk mencari jalan berbeza bagaimana untuk mencapai matlamat saya,” kata pemandu Finland itu menjelang Grand Prix (GP) Brazil, hari ini.

“Saya lebih suka melakukan perbincangan di litar dan jika saya mampu mengekalkan prestasi saya dan menggunakan segala tenaga terhadap prestasi saya, bermakna ia adalah terbaik untuk saya.

“Jika saya boleh beraksi di tahap yang saya mahukan, kebiasaannya ia akan menyebabkan pelumba di garaj sebelah sedikit mara dan saya juga tahu ia boleh boleh membawa kepada kamu melakukan kesilapan.

“Saya mempunyai perancangan untuk tahun depan, tapi saya tidak akan berkongsi mengenainya, tapi kita akan mengetahuinya,” kata Bottas sambil menjelaskan mahu memberi tumpuan bersama jurutera perlumbaan dan berpuas hati dengan perkembangannya. – AFP

Valtteri Bottas (kanan) ketika menghadiri sidang media menjelang Formula Satu Brazil Ahad ini, kelmarin. – AP