BAKU, 28 April – Valtteri Bottas mengambil kedudukan petak pendahulu di depan rakan sepasukan, Lewis Hamilton ketika Mercedes memastikan kedudukan barisan depan bagi saingan Grand Prix Azerbaijan awal pagi esok.
Dalam saingan sejuk dan mencabar dekat litar jalanan Baku, pemandu Finland itu menampilkan catatan rekod sepusingan 1 minit 40.495 saat untuk mengatasi pendahulu kejuaraan dan juara dunia itu dengan 0.059s.
Ia adalah petak pendahulu pertama Bottas di Baku dan kelapan sepanjang kariernya. Bagi Mercedes, ia adalah yang keempat berturut-turut mereka berkedudukan satu-dua dalam kelayakan. Sebastian Vettel ketiga buat Ferrari manakala rakan sepasukan, Charles Leclerc, yang merakam catatan terpantas pada sesi latihan, terbabit dalam kemalangan apabila dia menghentam dinding ketika Q2 yang diselubungi kemalangan.
Sesi itu berlangsung hampir dua jam selepas kemalangan teruk terhadap Leclerc dan pada Q1 buat Robert Kubica dari Williams.
“Saya sangat gembira,” kata Bottas. “Ia pusingan yang bagus dan Ferrari sememangnya sangat kuat. Jelas Charles terkeluar kerana kesilapan dan selaku pasukan kami rasa sangat bagus untuk berada di mana kami berada ketika ini. Semuanya berkaitan jurang yang sedikit.” – AFP