SOCHI, Rusia, 1 Mei – Valtteri Bottas mencatatkan kemenangan Formula Satu semalam apabila mengetepikan tekanan dari pendahulu kejuaraan, Sebastian Vettel untuk memberikan kemenangan Mercedes dalam perlumbaan Grand Prix, Rusia.
Pemandu dari Finland, yang bermula di petak ketiga, mendapatkan inisiatif pada awal perlumbaan dengan mengatasi kedua-dua pemandu Ferrari dan mendahului perlumbaan, sementara rakan sepasukannya dari Mercedes, Lewis Hamilton bergelut dengan berada di tangga keempat.
Juara empat kali, Vettel menamatkan di tempat kedua di depan rakan sepasukannya dari Ferrari, Kimi Raikkonen yang memenangi podium pertamanya sejak Grand Prix, Austria, tahun lepas.
Kemenangan pertama Bottas diterima baik oleh rakan-rakan pemandu dan padok, Hamilton memeluknya selepas dia melompat ke arah kru dan Vettel menyertai keraian itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin juga hadir bagi menyampaikan ucap tahniah dan menyampaikan hadiah.

“Penantian yang tidak sia-sia!” kata Bottas dalam gaya tersendiri selepas mencatatkan kemenangan hanya enam saat di depan Vettel.
Pemandu dari Belanda, Max Verstappen menamatkan tangga kelima bagi Red Bull di depan Sergio Perez dari Mexico dan rakan sepasukannya dari Force India, Esteban Ocon, Nico Hulkenberg dari Renault dan Felipe Massa dari Williams.
Keputusan itu memastikan Vettel berada di kedudukan teratas kejuaraan pemanduan dengan 86 mata di depan Hamilton dengan 73, dengan Bottas di tempat ketiga dengan 63 mata. Mercedes mendahului gelaran dengan 136 mata berbanding Ferrari dengan 135 mata selepas empat pusingan bagi kejuaraan tahun ini. – AFP