LOS ANGELES, 22 SEPT – Denis Bouanga mencipta sejarah Major League Soccer (MLS) apabila meledak hatrik dalam kemenangan 4-1 Los Angeles FC (LAFC) ke atas Real Salt Lake, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring prolifik liga itu.
Pemain antarabangsa Gabon berusia 29 tahun itu merekodkan hatrik keduanya dalam tiga perlawanan, sekali gus mengumpul 22 gol musim ini.
Catatan itu menjadikannya pemain pertama MLS yang berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol dalam tiga musim berturut-turut.
Bouanga kini berkongsi kedudukan teratas senarai penjaring liga bersama bintang Inter Miami, Lionel Messi dan satu gol di hadapan penyerang Nashville, Sam Surridge.
Selain itu, Bouanga turut mencatat sejarah kelab apabila melakar hatrik keempat dalam saingan musim biasa, mengatasi rekod bekas legenda LAFC, Carlos Vela, yang turut diraikan di Stadium BMO pada perlawanan itu.
Rakan sepasukannya, bintang Korea Selatan Son Heung-min, turut menyumbang satu gol dalam perlawanan tersebut. Bekas kapten Tottenham itu yang menyertai LAFC pada Ogos lalu dengan yuran perpindahan dilaporkan mencecah rekod MLS AS$26 juta, sebelum ini turut mencatat hatrik pertamanya minggu lalu menentang Real Salt Lake.
Salt Lake mendahului seawal minit ke-14 menerusi jaringan Brayan Vera, namun LAFC bangkit selepas hantaran Son membuka ruang untuk Bouanga menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama. Dua minit kemudian, Son menambah gol kedua untuk meletakkan pasukannya di hadapan 2-1 sehingga rehat. – AFP










