LOS ANGELES, 25 Feb – Bekas pemain nombor lima dunia, Eugenie Bouchard berkata semalam dia berasa “gembira, lega dan bebas daripada sebarang tuduhan” setelah seorang juri mendapati Persatuan Tenis AS (USTA) sebahagian besarnya bertanggungjawab atas kejatuhannya pada Terbuka AS pada 2015.
“Selepas dua setengah tahun, tindakan guaman saya ke atas USTA sudah berakhir,” kata Bouchard dalam satu kenyataan yang disiarkan di Twitter, sehari selepas mencapai penyelesaian dengan pertubuhan yang mengendali Terbuka AS.
“Juri mendapati USTA cuai dan bertanggungjawab terhadap kemalangan itu. Selepas keputusan, USTA dan saya mencapai satu persetujuan penyelesaian.”

Syarat-syarat penyelesaian kewangan dicapai pada Jumaat, sehari selepas juri mendapati USTA menanggung 75 peratus daripada tanggungjawab atas kejatuhan Bouchard, namun tidak didedahkan.
Bouchard, 23, telah berusaha untuk mendapatkan bayaran pampasan yang tidak dinyatakan, berkata USTA bertanggungjawab atas keadaan yang tidak selamat dalam bilik latihan di kawasan bilik lokar pada Kejohanan Terbuka AS, di mana Bouchard tergelincir dan terjatuh di atas lantai basah selepas perlawanan beregu lewat malam. – AFP