LONDON, 4 MEI – Arsenal mengalami tamparan hebat menjelang pertembungan Liga Juara-juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) ketika Evanilson membantu Bournemouth untuk mencatat kemenangan bersejarah 2-1, manakala Aston Villa meningkatkan sasaran lima teratas mereka dengan kemenangan 1-0 menentang Fulham, semalam.
Skuad kendalian Mikel Arteta mendahului menerusi pembukaan separuh masa pertama Declan Rice pada penampilan ke-100 beliau untuk kelab itu.
Bagaimanapun, Dean Huijsen menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua dan Evanilson melengkapkan kebangkitan untuk memberikan Bournemouth kemenangan pertama mereka di tempat lawan ke atas Arsenal.
Tewas 1-0 oleh PSG dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-juara Selasa lalu, Arsenal memerlukan prestasi yang lebih baik pada perlawanan kedua di Paris Rabu nnti.
Gunners di tempat kedua juga masih memerlukan enam mata untuk menjamin kelayakan Liga Juara-juara musim depan menerusi penamat lima teratas Liga Perdana.
Arsenal menamatkan saingan sebagai naib juara di belakang Manchester City untuk dua musim terakhir dan Liga Juara-juara adalah harapan terakhir mereka untuk menjulang trofi musim ini.
Kali terakhir mereka mara ke final Liga Juara-juara pada 2006 dan tidak pernah memenangi kejohanan itu.
“Kami sepatutnya memenangi perlawanan itu. Kami bertahan dengan sangat teruk, tidak mencapai standard yang biasa kami lakukan,” kata Arteta.
“Kami mahu memberikan momentum dan suasana yang sangat positif hari ini dan kami tidak melakukannya. – AFP
